Anda di sini

Tentera Darat rancang tambah keupayaan: Zaki

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Ia bagi tingkat kehadiran Tentera Darat di kawasan sempadan Kalimantan iaitu Bintulu, Miri

TAHNIAH: Zaki (tengah belakang) merakam kenangan bersama pegawai yang Sijil Kecemerlangan sempena Hari Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Pertama di Kompleks Kem Muara Tuang di Kota Samarahan, semalam.

KOTA SAMARAHAN: Tentera Darat kini dalam perancangan menambah keupayaan mereka di sepanjang sempadan Kalimantan meliputi kawasan Bintulu dan Miri.

Panglima Medan Timur Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zaki Mokhtar berkata, ia bagi meningkatkan kehadiran Tentera Darat di kawasan yang dikenal pasti itu.

“Mengikut perancangan Tentera Darat, kami akan menambah batalion di Bintulu dan mewujudkan Briged Sempadan bagi mengawal, mempertingkat dan memperkemaskan kawalan sempadan darat kita di Kalimantan.

“Ia masih dalam perancangan dan berharap supaya dapat segera dilaksanakan dan ini pastinya akan meningkatkan kehadiran Tentera Darat di Sarawak jika perancangan dapat dilaksanakan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Perbarisan Hari Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat Pertama di Kompleks Kem Muara Tuang di sini, semalam.

Jelas beliau, bagaimanapun keadaan sempadan di Sarawak pada ketika ini adalah terkawal dan begitu juga hubungan baik dengan rakan mereka di Indonesia.

Namun ujar beliau, ia tidak harus menyebabkan pihaknya leka dan ATM khususnya Tentera Darat akan terus berusaha ke arah memperkasakan kawalan keselamatan dalam mengawal cubaan penyeludupan atau aktiviti di sempadan.

Mengulas mengenai sambutan ulang tahun pertama penubuhan Pemerintahan Medan Timur, Zaki berkata, pihaknya juga akan terus memperkemaskan lagi struktur pentadbiran dan beberapa program yang telah dilaksanakan termasuk Mobile Community Transformation Programme (MCTP).

“Ini adalah usaha Tentera Darat dan ATM bukan sahaja mendekati rakyat dan Kerajaan Negeri Sarawak tetapi lebih penting memanjangkan perkhidmatan dan maklumat kepada masyarakat khususnya di pedalaman,” katanya.

Menurutnya MCTP adalah berbentuk projek jiwa murni antara agensi yang memberi impak kepada kesejahteraan penduduk Sarawak dan ia merapatkan hubungan ATM dengan agensi kerajaan serta kesatuan yang turut mendekati rakyat secara bersepadu.

Dalam program berkenaan Pemerintahan Timur melalui 1 Divisyen diberi kekuatan sebagai ketua agensi untuk bekerjasama rapat dengan pejabat setiausaha kerajaan negeri, ujarnya.

Advertisement