Anda di sini

Sidang akhbar beri info terkini GST setiap hari

Advertisement

KOTA KINABALU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) akan mengadakan sidang akhbar bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi memberi maklumat terkini tentang pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada setiap hari, mulai semalam.

Menterinya Datuk Seri Hasan Malek berkata sidang akhbar pada jam 5 petang di bangunan kementerian di Putrajaya itu antara lain bertujuan memberi maklumat terus kepada rakyat berhubung aduan diterima, jenis aduan, tindakan yang telah diambil dan sedang disiasat.

“Sidang akhbar itu akan dikendalikan Ketua Setiausaha KPDNKK Datuk Seri Alias Ahmad bersama Pengarah GST Kastam Datuk Subromaniam Tholasy bagi memberi pencerahan terhadap apa sahaja aduan yang diterima,” katanya kepada pemberita selepas meninjau harga barangan di pasaraya Giant di sini, semalam.

Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah Datuk Jainab Ahmad Ayid.

Hasan berkata semua maklumat itu diperoleh menerusi Pusat Gerakan Anti Pencatutan yang beroperasi 24 jam dengan dikendalikan 40 petugas secara bergilir-gilir.

Menurut Hasan, pusat gerakan serta sidang akhbar itu akan diteruskan bagi memantau situasi semasa pelaksanaan GST sehingga ia benar-benar difahami dan tidak wujud kekeliruan atau pihak mengambil kesempatan. — Bernama

Advertisement