Anda di sini

Kurang penerangan GST membawa kekeliruan dan kucar-kacir

Advertisement

KUCHING: Kekurangan penerangan secara jelas mengenai mekanisme sistem Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang berkuat kuasa semalam, membawa kekeliruan dan kucar-kacir lebih daripada yang pihak berkuasa jangkakan.

Naib Presiden Wanita Kebangsaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Voon Shiak Ni berkata, para pengguna seoalah-olah dalam kegelapan dalam mekanisme GST memandangkan tidak pasti barang mana dikenakan cukai dan apa yang tidak.

Katanya wujud juga kekeliruan mengenai minyak petrol mana dikenakan GST di mana para pengguna termasuk dirinya dimaklumkan bahawa RON95 dikenakan GST manakala RON97 dan Diesel tidak.

“Ia seolah-olah maklumat mengenai GST tidak sampai ke akar umbi.

“Justeru, kita berpendapat banyak yang perlu dilakukan bagi menjernihkan situasi mengenai GST dan melengkapkan pengguna dengan pengetahuan diperlukan bagi melindungi diri daripada dikenakan caj berlebihan daripada mana-mana pihak,” katanya.

Voon berkata meskipun GST pada asalnya dimulakan oleh kerajaan persekutuan bagi menggantikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), orang ramai tidak optimistik mengenai proses pelaksanaannya walaupun banyak bengkel dan penerangan dibuat.

“Kebimbangan di kalangan masyarakat dapat dicerminkan daripada barisan panjang oleh pengguna yang membeli-belah pada saat terakhir bagi menyimpan keperluan rumah kerana mengkhuatiri impak GST terhadap harga,” katanya.

Advertisement