Anda di sini

GST: Sewa perkhidmatan ditawar DBKU turut naik

Advertisement

PINGAT PENGHARGAAN: Abang Abdul Wahap (tengah) kelihatan sedang menyemat pingat pada pakaian seragam Mohammed Gupta Nebi yang telah berkhidmat selama 26 tahun pada Perhimpunan Badan Beruniform DBKU Bersama Datuk Bandar di Pejabat DBKU Jalan Depo, Kuching, semalam.

KUCHING: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang dikuatkuasakan bermula semalam (1 April) di seluruh negara menyaksikan kenaikan pada kadar sewa perkhidmatan yang ditawarkan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Mendedahkan perkara itu, Datuk Bandarnya Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai berkata, caj enam peratus tambahan mula dikenakan kepada pengguna yang mahu mendapatkan khidmat sewa seperti kanopi, unit tandas bergerak, auditorium, hiasan bunga dan sebagainya.

“Bagaimanapun, pelaksanaan GST tidak akan dikenakan sama sekali ke atas sebarang urusan perkhidmatan lain yang ditawarkan DBKU seperti permohonan lesen, permit mahupun cukai pintu.

“Sehubungan itu, pada pandangan saya, meskipun segelintir perkhidmatan dikenakan GST oleh DBKU, ia masih tidak memberi impak ketara kepada rakyat dan DBKU sendiri,” katanya ketika ditemui selepas Perhimpunan Badan Beruniform DBKU Bersama Datuk Bandar di pejabat DBKU Jalan Depo di sini, semalam.

Jelas beliau lagi, meskipun GST telah dikuatkuasakan pihaknya akan sentiasa menjalankan kajian mengenai perolehan daripada pelaksanaan GST kepada DBKU.

Terdahulu, ketika berucap merasmikan perhimpunan berkenaan, beliau menyeru warga DBKU untuk sentiasa menunjukkan komitmen tinggi ketika menjalankan tugas.

Selain itu jelasnya, setiap pegawai dan anggota DBKU juga harus menanam sifat integriti dalam diri jika mahu terus menunjukkan kemajuan dalam kerjaya.

“Integriti sangat penting. Ia menjadi teras pembentukan kejayaan sesuatu organisasi dan tanpa integriti dalam diri warga kerja, maka kerja yang diamanahkan kepada setiap anggota mahupun pegawai tidak akan dapat dilunaskan dengan sempurna.

“Ia juga sekali gus mencerminkan sikap tidak bertanggungjawab kita meskipun telah diamanahkan tugas dalam menyampaikan serta memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat yang memerlukan,” katanya.

Tambahnya, sejajar dengan usaha meningkatkan mutu kerja setiap anggota DBKU, mereka harus memainkan peranan tegas bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada seluruh warga kota adalah yang terbaik.

“Kita mahu menanam sikap bertanggungjawab di dalam diri setiap anggota beruniform (penguat kuasa) DBKU tidak kira bahagian apa kamu ditugaskan.

“Pada masa sama, anggota juga perlu menjadikan tekanan dalam bertugas sebagai pemangkin semangat bekerja sekali gus memantapkan institusi pihak berkuasa tempatan dalam menguatkuasakan undang-undang terutama di kawasan Kuching Utara,” katanya.

Majlis perhimpunan itu turut menyaksikan penyerahan pingat dan anugerah kepada beberapa anggota berpakaian seragam DBKU yang telah berkhidmat selama 10, 15 dan 20 tahun bersama DBKU.

Advertisement