Anda di sini

Bakat sukan kalangan pelajar harus dikembangkan

Advertisement

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar dan Perumahan, Datuk Francis Harden Hollis berkata bakat sukan yang terpendam kalangan pelajar harus dikembangkan untuk melahirkan lebih ramai atlet negara pada masa akan datang.

Justeru itu, katanya, pelbagai program sukan diadakan Pejabat Pelajaran Daerah dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mencari atlet-atlet berbakat.

Menurutnya, kita boleh bergabung dengan NGO untuk mencari dana bagi merancak dan melancarkan penganjuran sesebuah program seperti pertandingan sukan.

“Usaha mencungkil bakat pelajar harus bermula dari peringkat sekolah rendah kerana ia penting agar bakat-bakat mereka ini boleh dikembangkan ke tahap lebih tinggi apabila mereka sudah meningkat remaja,” katanya ketika merasmikan Pertandingan Bola Sepak 12 Tahun Ke Bawah Majlis Sukan Sekolah (MSS) Bahagian Sri Aman di Sekolah Kebangsaan (SK) Agama (MIS) Sri Aman.

Sebanyak enam zon mengambil bahagian pada pertandingan itu melibatkan Zon Sri Aman, Pantu, Lingga, Lubok Antu, Engkilili dan Undop Skrang.

Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menasihatkan ibu bapa agar menggalakkan anak-anak mereka melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti sukan di sekolah masing-masing.

Ini kerana, jelasnya, kekuatan fizikal boleh menyumbang kepada kecergasan otak anak-anak seterusnya memberi kesan positif terhadap prestasi akademik mereka.

“Jangan halang anak-anak andainya mereka mahu aktif bersukan. Beri galakan dan sokongan kepada mereka agar boleh menyumbang kepada kecemerlangan mereka pada masa akan datang,” katanya.

Turut hadir Pegawai Pelajaran Daerah Sri Aman Vivien Mujah, Pengerusi Majlis Guru Besar Zon Pantu Wan Naruddin Wan Japar, Pengerusi Biro Kokurikulum MGB Pantu Alfred Kendim, Penasihat Pergerakan Pemuda SUPP Simanggang, Patrick Michael Malajin serta kakitangan sekolah dan guru-guru.

Advertisement