Anda di sini

Aktiviti belia perlu disebar luas

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

50 pemimpin belia menyertai Majlis Perundingan Belia Bahagian Bintulu

BINTULU: Seramai 50 pemimpin belia daripada 22 pertubuhan belia menyertai Majlis Perundingan Belia Bahagian Bintulu anjuran Pejabat Belia dan Sukan Bintulu di sini.

Majlis penutupan dan penyampaian sijil peserta disempurnakan Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari serta dihadiri Pegawai Daerah Bintulu Tuah Suni, Pegawai Belia dan Sukan Bintulu Nik Muhammad Asyraf Nik Mohd Kamal sebagai panel forum dan Pegawai Penerangan Daerah Bintulu Pauline Sating sebagai pemerhati.

Dua penceramah dijemput menyampaikan ceramah ialah Shaiful Shandi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Cawangan Miri dan Janudin Ab Rahman daripada Tenaga Penggerak Biro Tata Negara Cawangan Sarawak.

Muhammad Yakup berkata, aktiviti-aktiviti belia di bahagian ini perlu disebar luas supaya belia-belia dapat mengetahui perkembangan aktiviti dan menyertainya.

Katanya perkembangan pesat pembangunan bandar ini juga perlu diketahui golongan belia supaya mereka dapat membangun bersama kemajuan itu.

“Belia perlu ada jati diri, mempunyai nilai akhlak tinggi serta perlu bersatu padu walaupun latar belakang kaum dan agama berbeza.

“Golongan belia perlu berilmu menghadapi kehidupan yang penuh mencabar pada masa kini,” katanya sambil berharap masyarakat turut membantu golongan belia bermasalah.

Beliau turut berharap golongan belia dapat membuat perancangan strategik dalam penganjuran pelbagai aktiviti berkaitan serta mampu menjadi belia contoh di negeri ini.

“Antara aktiviti dilaksanakan ialah berakit, mendaki gunung, mengembara dan melawat persatuan-persatuan belia berjaya di Semenanjung Malaysia, mengadakan lawatan sambil belajar ke Taman Perindustrian Samalaju, perjumpaan dengan Pengurus Besar BDA Datu Mohidin Ishak sekali gus memohon tapak bangunan Pusat Belia termasuk menganjurkan anugerah belia,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasratnya untuk sama-sama merancang aktiviti strategik belia menyertai lawatan tersebut dan mengadakan pertemuan dengan pengurus besar BDA.

Advertisement