Anda di sini

Wanita dipenjara dua tahun cuba sokong IS

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang penolong pegawai kredit dijatuhi hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan cuba memberi sokongan kepada anggota militan IS, dengan cara mengahwini anggota kumpulan itu.

Hakim Kamardin Hashim membuat keputusan selepas Ummi Khalsom Bahak, 26, menukar pengakuannya kepada bersalah terhadap pertuduhan pilihan itu semasa kes berkenaan disebut semalam.

Kamardin memerintahkan Ummi Khalsom menjalani hukuman itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu 5 Okt lepas.

Difahamkan Ummi Khalsom merupakan wanita tempatan pertama yang dihukum penjara berhubung penglibatan dengan IS.

Pada 31 Okt lepas, Ummi Khalsom didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang kerana cuba memberi sokongan kepada IS dengan mengambil penerbangan pesawat AirAsia dari klia2, Sepang ke Brunei dan Istanbul, Turki untuk berkahwin dengan anggota kumpulan itu, Muhammad Aqif Huesen Rahizat.

Ummi Khalsom, yang diwakili peguam Datuk Hanif Hassan, didakwa melakukan kesalahan itu di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, klia2, pada jam 5.20 pagi, 5 Okt 2014.

Ummi Khalsom didakwa mengikut Seksyen 130J9(1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun yang sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 130J yang membawa hukuman penjara seumur hidup atau 30 tahun penjara atau denda dan harta yang digunakan untuk tujuan itu boleh dirampas.

Sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz memohon Ummi Khalsom dikenakan hukuman berat walaupun tertuduh mengaku terhadap pertuduhan pilihan yang mana dia boleh dihukum penjara seumur hidup atau 30 tahun atau denda.

Afzainizam juga memohon mahkamah mengambil kira tahap keseriusan kesalahan itu selain memberi pengajaran kepada tertuduh dan individu lain yang mempunyai niat sama.

Bagaimanapun peguam Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah mengambil kira umur anak guamnya yang masih muda, belum berkahwin dan merupakan anak ketiga daripada tujuh adik-beradik.

Muhammad Aqif Huesen dan kumpulan IS disenaraikan sebagai pengganas oleh Menteri Dalam Negeri di bawah Seksyen 66B dan 66D Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram pada 12 Nov 2014.

Mengikut fakta kes, Ummi Khalsom berkenalan dengan Muhammad Aqif Huesen melalui akaun Facebook dengan menggunakan nama “Umiey Summayah Al Malazie” dan kemudian sering berkomunikasi dengan menggunakan aplikasi ‘WhatApps’ dan ‘Kakaotalk’.

Muhammad Aqif Huesen kemudian mengajak wanita itu berkahwin dan tinggal di Syria. Ummi Khalsom bersetuju untuk berkahwin dan menyertai lelaki itu ke Syria selepas Muhammad Aqif Huesen berjanji untuk mendapatkan pembiayaan tiket penerbangan untuknya dari Malaysia.

Pada 13 Sept 2014, wanita itu enggan membeli tiket penerbangan dari klia2 ke Indonesia kerana takut ditangkap pihak polis, sebaliknya bersetuju untuk membeli tiket dari klia2 ke Brunei dan kemudian akan membeli tiket ke Istanbul, Turki secara dalam talian.

Ummi Khalsom juga memberitahu keluarganya di Seremban bahawa ibu kepada Muhammad Aqif Huesen, iaitu Kasmah Ismail akan datang merisiknya (Ummi Khalsom), namun bapa Ummi Khalsom membantah niat anaknya itu.

Bapanya kemudian membuat laporan polis selepas menyedari anaknya itu melarikan diri ke Melaka.

Rakan kepada Muhammad Aqif Huesen sempat mendepositkan wang berjumlah RM5,000 lagi selepas Ummi Khalsom menghubunginya untuk membeli tiket penerbangan baharu.

Bagaimanapun, Ummi Khalsom tidak sempat membeli tiket penerbangan baharunya selepas ditangkap oleh pegawai dari Bahagian E8, Cawangan Anti-Keganasan Cawangan Khas, Ibu Pebajat Polis di kaunter Imigresen Balai Pelepasan Antarabangsa, KLIA2.

Antara barangan miliknya yang turut ditahan ialah sebuah telefon bimbit, pasport, tiket penerbangan, sebuah beg galas yang mengandungi pakaian serta wang tunai.

Ummi Khalsom dibawa ke Penjara Kajang. — Bernama

 

Advertisement