Anda di sini

Tiada cadangan selaraskan pencen pesara kerajaan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang menyelaras kadar pencen pesara kakitangan awam pada masa ini untuk disesuaikan dengan kenaikan gaji yang dinikmati penjawat awam yang masih berkhidmat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, ini kerana ketika ini pesara kakitangan awam sudah menerima penyelarasan dengan kenaikan kadar pencen sebanyak dua peratus setahun.

“Tidak ada peruntukan khusus untuk menyelaraskan kadar pencen mengikut perubahan gaji…bagaimanapun mungkin perkara ini boleh dipertimbangkan (pada masa akan datang).

“Tetapi buat masa sekarang ini tidak boleh, sebab kita sudah ada penyelarasan dua peratus setahun dan tambahan pencen ini melibatkan peruntukan besar yang membabitkan 584,000 pesara,” katanya semasa menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2014) 2015 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Terdahulu, sidang dewan sedikit kecoh sewaktu sesi perbahasan rang undang-undang itu, selepas beberapa ahli Parlimen mencadangkan kerajaan menubuhkan institusi khas, khusus bagi menjaga kebajikan terutama perkara berkaitan pencen ahli Parlimen.

Perkara itu mula dibangkitkan oleh Anthony Loke Siew Fook (DAP-Seremban) yang menyarankan agar kerajaan memisahkan soal pengurusan gaji dan pencen ahli Parlimen daripada Jabatan Perkhidmatan Awam.

Loke menjelaskan, ahli Parlimen tidak boleh disamakan dengan penjawat awam kerana elaun ahli Parlimen terletak bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 dan perkhidmatan ahli Parlimen dikira dalam bentuk penggal perkhidmatan.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) pula menjelaskan, sebagai penggubal undang-undang, ahli Parlimen perlu dilindungi oleh sebuah institusi khas bagi menjamin masa depan mereka.

“Bukan orang lain menentukan masa depan kita, kita tentukan masa depan kita. Kenapa Jabatan Perkhidmatan Awam yang tentukan masa depan wakil-wakil rakyat?” katanya.

Datuk Shamsul Anuar Nasarah (BN-Lenggong) berkata pewujudan sebuah institusi untuk menjaga kebajikan ahli Parlimen perlu, bagi memastikan Parlimen negara ini berada pada kedudukan tersendiri dan bertaraf dunia.

“Kita berada di sebuah institusi yang penting kepada negara. Sampai ketikanya, kerajaan perlu melihat perkara ini supaya kita boleh mencapai satu standard yang tinggi dan dihormati, sampai bila kita mahu berbincang soal gaji ini (dan pencen),” katanya.

Shahidan menjelaskan, walaupun gaji dan elaun ahli Parlimen tertakluk di bawah Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980, namun kerajaan menggunakan sumber peruntukan yang sama untuk membayar pencen pesara kerajaan.

Katanya, oleh kerana kerajaan menggunakan sumber peruntukan yang sama, justeru kadar pencen ahli Parlimen juga menggunakan peraturan yang sama seperti ditetapkan untuk pesara kerajaan yang lain.

“Tetapi pada pandangan saya, untuk kita menubuhkan sesuatu lain daripada penjawat awam, kita tidak patut berbuat demikian. Kita tidak boleh memisahkan diri daripada penjawat awam,” katanya. — Bernama

Advertisement