Anda di sini

Lelaki dakwa M’sia langgar undang-undang halang wartawan masuki Kampung Tanduo

Advertisement

KOTA KINABALU: Seorang individu tidak dikenali yang menggunakan telefon bimbit suspek dalam insiden pencerobohan Lahad Datu mendakwa kerajaan Malaysia telah melanggar undang-undang dengan melarang wartawan daripada memasuki Kampung Tanduo, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Pegawai Penyelia Unit Pemintasan Komunikasi Cawangan Khas (SB) Bukit Aman ASP Muhammad Fauzairi Jaidin berkata dalam perbualan telefon jam 7.44 malam yang dipintas oleh unitnya pada 20 Feb, 2013, lelaki digelar polis sebagai ‘Lelaki Sabah 2’ yang menggunakan telefon bimbit bernombor 019-7569906 milik suspek Basil Samiul, berpendapat bahawa kerajaan Malaysia sepatutnya memberi kebenaran kepada wartawan untuk memasuki kampung itu yang digempur oleh kumpulan bersenjata Sulu supaya dunia luar tahu tentang tuntutan ‘sultan’ ke atas Sabah.

“Lelaki Sabah 2 memberitahu Lelaki Sabah 1 bahawa kerajaan Malaysia telah melanggar undang-undang kerana sepatutnya wartawan diberi kebenaran tidak kira apa jua keadaan,” katanya.

Muhammad Fauzairi berkata demikian ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan insiden pencerobohan itu kira-kira dua tahun lepas.

Beliau menerangkan tentang kandungan komunikasi dipintas yang dilakukan oleh unitnya selepas mendapat kebenaran untuk berbuat demikian daripada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya.

Dalam perbualan telefon sebelumnya, saksi itu berkata seorang yang bernama ‘Raja Muda Agimuddin’ memberitahu Basil bahawa aduan akan dikemukakan terhadap Malaysia jika ibu pejabat stesen televisyen asing Al Jazeera mendapat tahu bahawa wartawannya dihalang daripada membuat liputan mengenai penceroboh di Kampung Tanduo. — Bernama

Advertisement