Anda di sini

PERPIB menganjur Klinik Pingpong

Advertisement

KUCHING: Persatuan Pingpong Bumiputera Bahagian Kuching (PERPIB) dengan kerjasama Kelab Pingpong Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Setia telah menganjurkan Klinik Pingpong di sekolah tersebut di sini, baru-baru ini.

Penganjuran program itu merupakan langkah persatuan dalam usaha memajukan sukan pingpong dalam kalangan generasi muda Bumiputera di negeri ini.

Setiausaha PERPIB Morshidi Kaderi menyatakan, usaha pihak sekolah melalui Kelab Pingpong SMK Seri Setia dengan galakan guru penasihatnya Christinna Bohari dan Normah Hussain ke arah pembangunan sukan pingpong dengan mengundang PERPIB bagi mengadakan program tersebut amat besar maknanya.

“Klinik Pingpong ini amat besar maknanya bagi PERPIB untuk mempromosi sukan tersebut terutama dalam mencari bakat-bakat baharu yang seterusnya menjadi pemain pelapis pada masa depan.

“Untuk makluman, mutu permainan pingpong di Sarawak terutama dalam kalangan Bumiputera masih lagi jauh ketinggalan berbanding dengan Melayu di Semenanjung Malaysia dan kaum Cina di Sarawak,” katanya.

Program tersebut bermula pada jam 8 pagi dengan ceramah pengenalan tentang pingpong di bilik ceramah oleh Morshidi.

Seterusnya, aktiviti praktikal dijalankan di gelanggang pingpong sekolah dan ia dikendalikan oleh jurulatih PERPIB Asruddie, Ibrahim dan Haazizkin.

Program tersebut berakhir pada jam 1 petang dan diakhiri dengan penyampaian sijil dan cenderamata oleh Pengetua SMK Seri Setia Salbiah Seman kepada para peserta dan pihak PERPIB.

PERPIB berharap semoga usaha SMK Seri Setia akan diteruskan pada masa depan dan akan dicontohi oleh sekolah lain sekitar bandar ini khususnya dan Sarawak amnya.

Advertisement