Anda di sini

Akademi bola sepak ditubuh di Bintulu

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

Akademi Pembangunan Bola Sepak SMK Kemena, SK Kpg Jepak untuk pemain 21 tahun ke bawah

BINTULU: Persatuan Bola Sepak Bintulu (BiFA) dan Pejabat Pendidikan Daerah Bintulu telah melancarkan Akademi Pembangunan Bola Sepak Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kemena dan Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Jepak di Padang SMK Kemena Sabtu lalu.

Akademi itu khusus untuk pembangunan pemain berumur 12, 14, 17 dan 21 tahun ke bawah dan setakat ini jumlah pemain yang berada di bawah naungan akademi itu adalah 100 orang.

Dua pegawai penyelaras untuk akademi itu ialah Asmawi Bujang (SMK Kemena) dan Josli Omar (SK Kampung Jepak).

Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) Datuk Dr Stephen Rundi Utom berkata, untuk melahir pemain yang baik bukan hanya bergantung kepada bakat semula jadi mereka sebaliknya usaha melalui pembangunan latihan.

Justeru katanya, penubuhan akademi itu merupakan usaha baik untuk melahirkan para pemain berpotensi yang dapat mewakili Bintulu dan Sarawak.

“Melalui akademi ini pada suatu hari nanti kita berharap pemain-pemain terbaik dapat dilahirkan,” ujar Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri Kemena tersebut semasa melancarkan akademi tersebut.

Jelasnya, saiz bukan ukuran untuk menjadi pemain bola sepak terbaik memandangkan bintang dunia seperti Lionel Messi dan Maradona bukan bertubuh besar tetapi keutamaan mereka adalah kemahiran, ilmu yang tinggi, kepintaran dan tidak terlalu merendah diri.

Sementara itu, Presiden BiFA Duke Janteng berkata, akademi pembangunan bola sepak itu merupakan platform bagi membangunkan modal insan sekali gus mencungkil bakat-bakat berpotensi di peringkat sekolah.

“Kami yakin melaluinya, bahagian ini tidak akan ketandusan pemain untuk menyarung jersi Bintulu, Sarawak dan kebangsaan namun hanya dengan bantuan Jabatan Pendidikan serta jurulatih akan mampu mengetengahkan bakat-bakat pemain yang ada,” ujarnya.

Duke berkata, penubuhan akademi itu telah dirancang tahun lepas dan mendapat persetujuan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak.

“Ini merupakan program jangka panjang yang akan terus digalas BiFA untuk membangunkan bola sepak termasuk membantu memantapkan jurulatih yang memegang lesen A dan C termasuk pengadil dan pegawai teknikal,” katanya.

Pada majlis itu, Dr Rundi menyerahkan geran RM32,OOO untuk pembangunan bola sepak di Bintulu serta menyerahkan barangan tajaan Lea Sports Centre (LSC) untuk akademi.

Ia diikuti penyerahan Gelanggang Futsal 1Malaysia di Taman Kemena Sutera oleh Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Bintulu Nik Muhammad Asraff Nik Mohd Kamal kepada BiFA.

Ketua Unit Penilaian dan Peperiksaan Jabatan Pendidikan Negeri mewakili Pengarahnya Philip Chiyang, Pengerusi Pembangunan dan Kejurulatihan BiFA Mohd Tuah Ismail, Setiausaha Bahagian (Pihak Berkuasa Tempatan Perkhidmatan Alam Sekitar) Wan Ibrahim Wan Ali, Penyelia Bahagian Runcit LSC Normi Tahir, Pengetua SMK Kemena Rosli Salleh dan Guru Besar SK Kampung Jepak Ali Sabri Saber Ali Khan turut hadir pada majlis itu.

Advertisement