Anda di sini

BBC terbit dokumentari ular Kukuo di Taman Pertanian Sabah

Advertisement

KOTA KINABALU: Taman Pertanian Sabah (TPS) bakal menarik perhatian dunia apabila Penyiaran Perbadanan British (BBC) menerbitkan dokumentari mengenai keunikan sejenis ular kecil ‘Kukuo Ra’laa’ yang mampu terbang di taman tersebut.

Pembikinan dokumentari ‘The Flying Snake’ oleh Unit Natural History BBC selama dua minggu di TPS Lagud Sebrang, Tenom akan mempaparkan keupayaan ular ‘Kukuo Ra’laa’ yang mampu terbang dan menggelongsor sejauh 100m dari satu pokok ke pokok lain.

Selain itu, ular berwarna hijau itu turut mendapat perhatian saintis dunia untuk menjalankan kajian ke atas spesis ular itu bagi menghasilkan robot yang mempunyai keupayaan seperti ular itu.

Ular itu digelar ‘Kukuo Ra’laa’ dalam bahasa Dayak Murut (Timugon).

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Radin Malleh, ketika mengumumkan dokumentari BBC itu, berkata tayangan dokumentari itu akan menjadi platform untuk mempromosikan TPS dan daerah Tenom di peringkat antarabangsa.

“Selain itu, paparan dokumentari ini akan meningkatkan daya tarikan pelancong untuk datang dan melihat sendiri keunikan taman tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

“Syabas dan tahniah kepada TPS atas pengiktirafan tersebut dan kewujudan TPS telah memartabatkan daerah Tenom di peta dunia sebagai salah satu pusat konservasi alam sekitar yang bertaraf antarabangsa di negara ini,” katanya.

Radin berkata meskipun pada dasarnya teras perniagaan TPS adalah pemuliharaan pelbagai jenis tumbuhan selain untuk tujuan pembelajaran, namun peranan lokasi itu memiliki daya tarikan berkonsepkan agropelancongan.

“Ia sekali gus menjadi pemangkin kepada perkembangan potensi sosioekonomi di kawasan pedalaman khusus di daerah Tenom, katanya.

Beliau berkata pengurusan TPS boleh mempelbagaikan strategi promosi pelancongan termasuk bekerjasama dengan Pusat Kebudayaan Murut, Kilang Kopi Tenom dan Ladang Pomelo untuk menawarkan satu pakej agropelancongan untuk pelancong domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata usaha kerjasama itu sejajar dengan inisiatif kerajaan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan kawasan luar bandar termasuk daerah Tenom yang terkenal dengan kekayaan pelbagai khazanah alam semula jadi. — Bernama

Advertisement