Anda di sini

19 unit komputer dirampas, 11 ditahan operasi judi haram

Advertisement

MIRI: Sebanyak 19 unit komputer berjaya dirampas polis hasil serbuan di sebuah premis di Jalan Pujut 5C di sini kerana disyaki menjalankan kegiatan judi atas talian secara haram.

Semasa serbuan pada 25 Mac lalu, jam 11.50 malam, polis turut menangkap 11 lelaki termasuk seorang lelaki warga Indonesia dipercayai penjaga premis serta merampas wang tunai berjumlah RM440.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri, Superintenden Stanley Jonathan Ringgit berkata, semua suspek berusia antara 20 hingga 53 tahun ditangkap mengikut Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 5 (2) Ordinan Hiburan 2001 untuk membantu siasatan lanjut polis.

Terdahulu katanya, bertindak atas maklumat diterima, sepasukan polis diketuai Inspektor Koay Kok Ping membuat serbuan di sebuah premis terletak di Jalan Pujut 5C di sini kerana dipercayai menjalan kegiatan mesin judi berkomputer secara atas talian.

“Justeru, polis tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak didapati menjalankan kegiatan perjudian atas talian secara haram,” katanya pada sidang media diadakan di sini petang kelmarin.

Justeru, beliau menegaskan bahawa polis melakukan operasi berterusan membanteras kegiatan perjudian atas talian di bandar raya ini.

 

Advertisement