Anda di sini

Semua negara ASEAN sertai AIFFA 2015

Advertisement

Oleh Jessica Jawing //

Semua negara menghantar filem masing-masing pada acara tahun ini

UNTUK FILEM: Abang Johari menyerahkan replika tiket wayang sempena AIFFA 2015 kepada Ketua Program Fakulti Komunikasi, Media dan Penyiaran Institut Teknologi Kreatif Limkokwing Afida Khasuma Zaidi (kiri) sambil disaksikan Ibrahim (kanan), Gramong (dua kiri) dan Talib (belakang).

KUCHING: Anugerah dan Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2015 buat julung kalinya mendapat penyertaan kesemua 10 negara ASEAN, yang menghantar filem masing-masing pada acara tahun ini.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg yang mengumumkan perkara itu semalam berkata, sebelum ini AIFFA yang diadakan dua tahun sekali, iaitu 2013 hanya menerima lapan negara yang menghantar filem untuk penyertaan.

“Pada tahun ini kesemua 10 negara ASEAN menghantar filem mereka untuk menyertai AIFFA dan ini adalah kali pertama, di mana antara yang baharu menyertai ialah Kemboja.

“Inilah interaksi antarabangsa yang kita mahu tingkatkan di mana semua 10 negara mengambil bahagian dan AIFFA bukan sahaja daripada aspek perniagaan tetapi rangkaian kerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Bicarawara Bersama Media: AIFFA 2015 yang dihadiri dua Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip serta Datuk Gramong Juna dan Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Datuk Ibrahim Abdul Rahman di sini, semalam.

Abang Johari yang juga Menteri Perumahan turut mengumumkan bahawa pelakon handal Asia Datuk Jackie Chan akan hadir pada AIFAA 2015, yang dijadualkan berlangsung dari 9 hingga 11 April depan.

Beliau berkata sempena penganjuran festival filem yang bertujuan memberi pengiktirafan kepada filem terbaik dari rantau ASEAN, Pertunjukan Fesyen ASEAN turut diadakan.

“Pertunjukan fesyen ini adalah satu acara tambahan yang diadakan pada tahun ini dan ia bagi memperkenalkan kekayaan budaya penduduk ASEAN dan acara ini akan menampilkan pakaian daripada pelbagai budaya termasuk pakaian Muslimah.

“Kita berharap melalui acara sebegini, ia mewujudkan rangkaian perniagaan di kalangan mereka yang terlibat dalam industri ini,” katanya sambil memberitahu, AIFFA mendapat pengiktirafan daripada kesemua 10 Menteri Pelancongan negara anggota ASEAN sebagai festival filem rantau ini.

Beliau berkata malahan Sarawak juga diberi pengiktirafan menjadi tuan rumah tetap bagi setiap kali penganjuran AIFFA.

Festival filem ini juga mendapat sokongan Kementerian Pelancongan Sarawak, Kementerian Luar dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

AIFFA 2015 yang akan disertai 200 personaliti dan selebriti antarabangsa, merupakan platform berkesan untuk meluaskan kerjasama dan rangkaian dalam kalangan penggiat industri filem ASEAN.

Sementara itu Ibrahim dalam ucapannya berkata, Jabatan Penerangan sentiasa bekerjasama dengan kementerian dalam menjayakan AIFFA, di mana mereka menyediakan logistik serta promosi dan bantuan lain.

Dalam perkara itu, Jabatan Penerangan akan mengadakan beberapa aktiviti membabitkan ASEAN seperti pelancaran Komuniti ASEAN serta ASEAN Peace.

“ASEAN Peace ini menyasarkan kepada anak-anak muda dan mewujudkan kesedaran kepada mereka dalam merealisasikan matlamat.

“Bagi program Bicarawara bersama Media ini, ia sebagai platform khas kepada media mengenai AIFFA,” katanya.

Ibrahim menegaskan, penganjuran AIFFA itu menunjukkan kebolehan Sarawak dalam menganjurkan program bertaraf antarabangsa sekali gus menaikkan imej negeri ini di peringkat global.

Advertisement