Anda di sini

Pengusaha kedai runcit miliki rokok seludup didenda RM9,000

Advertisement

KANGAR: Mahkamah Majistret di sini semalam mendenda seorang pengusaha kedai runcit RM9,000 atau penjara enam bulan selepas mengaku bersalah memiliki 11,360 batang rokok tidak sah bernilai RM816.40.

Norizan Yusoff, 46, dari Beseri, dekat sini melakukan kesalahan itu di premis perniagaannya di Gerai Taman Sempurna Jaya, Beseri pada jam 11.05 pagi 12 Nov 2011.

Dia ditahan sepasukan pegawai kastam selepas mereka menemui 6,560 batang rokok jenama John; 2,040 batang rokok jenama Paradox; 2,760 rokok jenama Surya Gudang Garam.

Norizan didakwa mengikut Seksyen 135(1(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 kali nilai rampasan atau tidak lebih 20 kali nilai rampasan atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu dalam rayuannya di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizi Nik Mohd Sukri, tertuduh yang tidak diwakili peguam, memohon agar dikenakan denda yang ringan kerana kedainya musnah terbakar kira-kira seminggu selepas ditahan kastam.

“Mahkamah mengambil kira pengakuan tertuduh. Hukuman yang dikenakan adalah mengikut seksyen yang diperuntukkan,” kata Nik Mohd Tarmizi.

Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa daripada Jabatan Kastam Perlis, Abdul Malik Awang Kechik. — Bernama

 

Advertisement