Anda di sini

Kes qazaf: Peguam fail notis tarik diri

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Rayuan Syariah semalam diberitahu bahawa peguam Zainul Rijal Abu Bakar memfailkan notis penarikan diri daripada mewakili Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain dan dua yang lain dalam kes tuduhan qazaf yang dikemukakan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu dimaklumkan peguam Abdul Halim Bahari yang mewakili Zainul Rijal ketika kes disebut di hadapan panel tiga anggota iaitu Datuk Mahammad Ibrahim, Datuk Aidi Mokhtar dan Datuk Hussin Harun.

Abdul Halim memberitahu bahawa Zainul Rijal memfailkan notis berkenaan pada 10 Okt 2012 dan ia diserahkan kepada Anwar melalui peguamnya, Kamar Ainiah Kamaruzaman semalam.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan pada 26 Sept 2012, menolak permohonan penarikan diri anak guamnya selepas mendapati peguam syarie itu memfailkan notis permohonan itu menggunakan borang yang tidak betul.

Notis penarikan diri itu difailkan berikutan Anwar mengemukakan permohonan pada 18 Ogos 2011 untuk menghalang Zainul Rijal daripada mewakili Shamsuddin, bekas Pengarah Jabatan Agama Islam (JAWI) Datuk Che Mat Che Ali dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Anwar memfailkan permohonan itu dengan alasan Zainul Rijal berkelakuan tidak profesional, tidak bersifat jujur dan tidak berniat baik untuk menegakkan keadilan.

Dalam prosiding semalam, Abdul Halim berkata permohonan penarikan diri Zainul Rijal akan menjadi akademik kerana anak guamnya tidak lagi mewakili ketiga-tiga pihak berkenaan.

“Ini jelas menunjukkan tiada apa yang perlu dihujahkan dan peguam pemohon (Anwar) sepatutnya telah mendapatkan arahan lanjut daripada anak guamnya kerana tempoh tiga tahun sebelum ini dah terlalu lama.

“Isu sekarang adalah sama ada pemohon meneruskan pertuduhan qazaf itu,” katanya.

Namun Hakim Datuk Hussin Harun berkata Zainul Rijal telah menyerahkan notis penarikan diri itu secara sukarela walaupun perjalanan notis itu terlalu lama iaitu tiga tahun.

“Notis kena serahkan, kalau tidak serahkan ia akan tergantung. Sekarang mahkamah sudah terima. Isu sudah habis dan sudah selesai,” kata hakim itu.

Bagaimanapun, peguam Kamar Ainiah membantah tindakan Zainul Rijal yang lewat menyerahkan notis itu atas alasan ia mungkin kelihatan remeh tetapi sebaliknya mempunyai kesan yang jauh.

Katanya, banyak isu tidak boleh diselesaikan semalam kerana responden (Zainul Rijal) hanya menyerahkan notis itu semalam dan beberapa kesilapan telah dilakukan oleh kedua-dua pihak.

“Pihak kami akan meneruskan kes ini (menghalang Zainul Rijal daripada mewakili tiga responden) dengan menghujahkan tiga perkara yang belum selesai iaitu merit, kos dan notis kes,” katanya.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 27 April ini bagi mengesahkan notis penarikan diri oleh Zainul Rijal daripada mewakili ketiga-tiga responden dalam kes tuduhan qazaf itu.

Pertuduhan qazaf ialah membuat tuduhan terhadap seseorang yang melakukan zina tanpa membawa empat saksi lelaki, dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Anwar hadir dalam prosiding semalam. — Bernama

 

Advertisement