Anda di sini

Keluar PR jika mahu terus bentang hudud: Guan Eng

Advertisement

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng semalam meminta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang keluar daripada pakatan pembangkang jika mahu meneruskan hasrat membentangkan Rang Undang-undang Persendirian berhubung pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015) atau hudud di Dewan Rakyat.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata DAP tidak mempersoalkan hak demokrasi Abdul Hadi untuk membentangkan apa-apa usul di Parlimen namun, beliau perlu berbuat demikian sebagai seorang Anggota Parlimen dan bukan sebagai anggota pakatan pembangkang.

“Jika dia (Abdul Hadi) hendak bentangkan Rang Undang-Undang itu, lebih baik dia tinggalkan PR (Pakatan Rakyat).

“Sebab dia dah janji kepada PR sebelum sebarang pembentangan kena dapat restu dahulu daripada semua anggota PR,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini, semalam.

Lim berkata kegagalan Abdul Hadi meminta restu dan persetujuan pakatan pembangkang sebelum menghantar notis usul Rang Undang-undang Persendirian itu kepada Dewan Rakyat, jelas menunjukkan pemimpin berkenaan tidak berpegang pada janji yang dibuat sebelum ini.

“Jika dia mahu teruskan juga, tinggalkan PR,” tegasnya sekali lagi.

Ketua Penerangan PAS Mahfuz Omar kelmarin mengesahkan Abdul Hadi telah mengemukakan notis usul berkenaan kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia bagi membentangkan Rang Undang-undang Persendirian untuk pelaksanaan hudud di Kelantan.

Notis itu diterima Dewan Rakyat pada 18 Mac lepas. — Bernama

Advertisement