Anda di sini

Tujuh NGO gesa polis ambil tindakan terhadap Aisyah

Advertisement

Aisyah juga menerima ugutan termasuk bunuh dan rogol

KUALA LUMPUR:  Tujuh badan bukan kerajaan (NGO) bergabung membuat laporan polis menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap penyampai radio BFM, Aisyah Mohd Tajuddin kerana didakwa menghina Islam.

Wartawan BFM Kupas itu sebelum ini tampil dalam sebuah video bertajuk ‘Hudud Isi Periuk Nasi’ menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini dan menerima beberapa ugutan termasuk ugutan bunuh dan rogol.

Tujuh NGO berkenaan terdiri daripada Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah (MJMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Pertubuhan Permuafakatan Majlis Ayahanda Malaysia (PERMAS), Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Majlis Bendahara dan Akhlak Rahsia Cekal (ARC).

Presiden MJMM Abdul Rani Kulup Abdullah yang mewakili kesemua NGO itu berkata mereka mahu pihak polis segera mengambil tindakan menahan Aisyah kerana tidak menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara.

“Beliau (Aisyah) bukan hanya menghina agama Allah SWT sebaliknya turut menghina dan tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong Malaysia yang merupakan ketua agama Islam negara malah turut tidak menghormati Sultan Kelantan Sultan Muhammad V yang menyokong pelaksanaan hukum hudud di negeri Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan di Balai Polis Daerah Dang Wangi di sini semalam.

Abdul Rani berkata mereka mahu pihak berkuasa termasuk pihak polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil tindakan tegas terhadap Aisyah agar ia menjadi teladan kepada individu lain agar tidak menghina agama Islam.

“Kami tidak takut sekiranya Aisyah ingin mengambil tindakan (terhadap kami) kerana kami lebih takutkan Allah SWT,” katanya.

Kelmarin, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menasihati agar individu atau pihak tertentu, yang kurang arif mengenai agama, agar tidak mengeluarkan komen di laman sosial mereka sehingga menyinggung perasaan pihak lain.

Beliau berkata pihak polis tidak mahu keadaan itu terjadi kerana ia membawa kepada keadaan tegang dalam aspek ketenteraman awam.

Khalid berkata polis memandang serius perkara itu dan akan mengambil tindakan jika perlu. — Bernama

Advertisement