Anda di sini

Hadi gagal dapat persetujuan PR

Advertisement

GEORGE TOWN: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah jelas gagal mendapatkan persetujuan daripada Pakatan Rakyat (PR) berhubung soal undang-undang hudud.

Beliau berkata isu tidak lagi hanya mengenai soal hudud atau sokongan pemimpin parti itu tetapi sebaliknya pengkhianatan beliau terhadap konsensus PR untuk tidak melaksanakan hudud kecuali persetujuan berdasarkan konsensus, kepercayaan dan saling menghormati ketiga-tiga parti pembangkang dalam pakatan itu.

“Dalam mempertahankan pencabulan Rangka Kerja Dasar Bersama PR dan keputusan Majlis Pimpinan PR, Hadi kini berkata visi PAS bukan sahaja setakat tahun 2020 tetapi akhirat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata keputusan unilateral Hadi untuk membentangkan rang undang-undang persendirian bagi membuka jalan ke arah pelaksanaan hukum hudud di Kelantan merupakan tindakan khianat terakhir olehnya.

Katanya Hadi melanggar konsensus PR yang dipersetujuinya sendiri semasa mesyuarat Majlis Pimpinan PR pada 8 Feb lepas.

Lim, yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata DAP tegas menentang pelaksanaan undang-undang hudud bukan kerana ia perundangan Islam tetapi ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Tiada siapa mempersoalkan hak demokrasi individu dalam membentangkan rang undang-undang persendirian mengenai hudud di Parlimen tetapi di manakah hak PR untuk mendapatkan keikhlasan dan kepercayaan dalam urusannya dengan Hadi? “Jika Hadi adalah seorang yang mulia dan jujur tentang niatnya untuk meneruskan pelaksanaan undang-undang hudud secara senyap dengan melanggar pendirian PR, maka dia tidak sepatutnya menyertai PR tetapi mengikut haluannya sendiri,” katanya.

Katanya Hadi turut memutarbelitkan kenyataan bersama Majlis Pempinan PR pada 28 Sept 2011 untuk menjustifikasikan tindakan khianatnya dengan mendakwa DAP menerusi penasihat DAP, Lim Kit Siang, telah menandatangani kenyataan bersama untuk ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’ dalam pelaksanaan hukum Islam itu.

“Biar saya mengingatkan Hadi bahawa kenyataan bersama PR pada 2011 itu hanya memperakui Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Kelantan 1993 dan Enakmen Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah Terengganu 2003 diluluskan sebelum penubuhan PR pada 2008.

“Walau bagaimanapun, Hadi tidak harus lupa bahawa PR mengambil pendirian jelas bahawa walaupun tidak munasabah untuk menuntut PAS meninggalkan agenda mereka tetapi tiga parti pembangkang PR akan memberi keutamaan kepada Rangka Kerja Dasar Bersama PR dan pelaksanaannya mesti mempunyai persetujuan ketiga-ketiga pihak,” kata Lim.

Menurutnya atas sebab itu semua pemimpin utama PAS pada pilihan raya umum 2008 hingga 2013 termasuk Allahyarham Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat tidak meneruskan rancangan pelaksanaan hukum hudud.

Ini kerana hudud tidak dalam senarai keutamaan PR untuk memulihkan kebebasan, keadilan, mewujudukan tadbir urus yang baik dan menjalin perpaduan negara dalam kalangan rakyat Malaysia, katanya. — Bernama

Advertisement