Anda di sini

Bateri pengesan bawah air tamat tempoh bukan punca kehilangan MH370: Liow

Advertisement

KUALA LUMPUR: Bateri peranti pengesan bawah air (ULB) yang telah tamat tempoh pada pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH370 bukan punca kehilangan pesawat malang itu.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, walaupun bateri itu telah tamat tempoh 14 bulan sebelum insiden itu, namun tidak ada bukti yang menyatakan ULB pada pesawat itu tidak berfungsi.

Beliau berkata, ULB dipasang pada dua perakam atau kotak hitam pesawat iaitu Perakam Data Penerbangan (SSFDR) dan Perakam Suara Kokpit (SSCVR).

“Hanya bateri pada peranti pengesan bawah air SSFDR sahaja yang telah tamat tempoh, iaitu pada Disember 2012 atau kira-kira 14 bulan sebelum insiden kehilangannya.

“Bateri peranti yang dipasang pada SSCVR diganti mengikut jadual dan tarikh luputnya ialah pada Jun 2014,” katanya ketika menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong bagi Kementerian Pengangkutan, di Dewan Rakyat di sini, semalam.

Liow berkata, kedua-dua perakam SSFDR dan SSCVR dipasang saling bersebelahan pada pesawat MH370 dan dalam kes kemalangan, sekiranya satu daripada kotak perakam dikesan atau ditemui, peluang untuk menemui kotak perakam seterusnya adalah amat tinggi.

Pada 8 Mac tahun lepas, Penerbangan MH370 yang membawa 227 penumpang dan 12 anak kapal, hilang daripada imbasan radar semasa dalam penerbangan di ruang udara Laut China Selatan kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada jam 12.41 tengah malam.

Pesawat Boeing 777-200ER itu sepatutnya tiba di Beijing pada jam 6.30 pagi hari yang sama.

Bagaimanapun, pesawat itu diumumkan berakhir di Selatan Lautan Hindi, dengan operasi besar-besaran yang dilaksanakan sehingga kini masih gagal menemui sebarang petunjuk berhubung kehilangannya.

Dalam pada itu Liow menegaskan, Laporan Interim dan Maklumat Fakta yang disediakan Pasukan Penyiasatan Keselamatan Lampiran 13 (Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa) ICAO Malaysia bagi MH370 yang dikeluarkan pada 8 Mac lalu, adalah fakta semata-mata dan tidak mengandungi sebarang analisis berkaitan kejadian itu.

Liow berkata, pasukan penyiasat tersebut kini sedang membuat analisis kejadian itu terutama pada waktu antara jam 1.21 pagi sehingga 6 pagi pada hari kejadian dan analisis itu akan dikeluarkan dalam laporan seterusnya.

Berkenaan satu lagi insiden berkaitan MAS iaitu Penerbangan MH17 yang ditembak jatuh di timur Ukraine pada 17 Julai tahun lepas, beliau berkata kerajaan bertegas untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Malaysia yang terkorban dan membawa pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Liow turut menafikan dakwaan yang mengatakan kerajaan Malaysia hanya bertindak sebagai pemerhati dalam siasatan insiden itu, kerana Malaysia turut terlibat secara langsung bersama beberapa negara lain dalam siasatan yang diterajui Belanda. — Bernama

Advertisement