Anda di sini

Teo juara sulung muaythai Piala Borneo

Advertisement

BINTULU: Teo Seng Meng menjuarai kejohanan sulung muaythai Piala Borneo setelah menundukkan Awang Abdul Rahman pada perlawanan akhir di Gelanggang Muaythai Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu semalam.

Perlawanan kategori profesional 48 kilogram (kg) itu menyaksikan Teo dari Kelab Muaythai Labuan ASSC (Labuan) terpaksa menunggu sehingga pusingan keempat untuk menyekat perjuangan Awang Abdul Rahman dari Kelab PS Muaythai Sebiew Bintulu (Sarawak).

Teo melakukan asakan tetapi kekuatan stamina dan beberapa tendangannya akhirnya berjaya menidakkan peluang Awang Abdul Rahman mara apabila rebah pada pusingan keempat sekali gus pengadil perlawanan memberikan kemenangan kepada Teo.

Kejuaraan itu membolehkan Teo membawa pulang tali pinggang hitam Piala Borneo, piala iringan dan pingat.

Manakala Awang Abdul Rahman menerima pingat disampaikan oleh Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Datu Mohidin Ishak.

Hadir sama Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) Jumaat Ibrahim, Setiausaha BDA Siti Aishah Othman, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Bintulu Zaiedy Nor Abu Nasir, Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sabah merangkap Ketua Pegawai Eksekutif DJFC Ir Nazri Abdul Razak, Presiden Persatuan Tomoi Wilayah Persekutuan Labuan, Aswadee Taba dan Presiden Muaythai Wilayah Kalimantan Barat (KalBar), Markus Koknak.

Manakala perlawanan akhir kategori wanita profesional 55 kg menyaksikan Dayang Farhanah Abang Sazali dari Kelab Muaythai Kenyalang (MTK) Sarawak muncul juara setelah menewaskan Dolphina Walter dari Kelab SS Fighter Sarawak.

Dayang Farhanah menang awal pusingan pertama apabila melakukan tumbukan dan asakan sehingga Dolphina rebah.

Perlawanan turut dilangsungkan semalam ialah kategori amatur akhir Piala Borneo.

Beberapa perlawanan membabitkan kategori 48- 51kg menyaksikan Lim Min Chiong (Lundu Sarawak) menang ke atas Ahmad Shazwan (PS Sarawak).

Rydan Aliamis (Karabaw Sabah) menewaskan Muliadan Dani (UNI F66 Sabah) kategori amatur akhir 51-54 kg, Hoo Gwo Jia (K Fighter Sabah) menang ke atas Sheldon Aaron George (Karabaw Sabah) kategori amatur 60- 63kg.

Diikuti kategori amatur 63.5-67kg menyaksikan Mohd Eswandy Hasan (SS Fighter Sarawak) menewaskan Sharif Rahidi Sharif Othman (Naga K Sabah) dan Mohd Rayyan Rizqin (K Fighter Sabah) menang ke atas Ayu Azizzy Azmi (MTK Sarawak) kategori amatur 45-48kg.

Manakala James Bodi (Lundu Sarawak) menewaskan Aidil Dahlan (Kelab Muaythai Jepak) kategori amatur 42- 45kg.

Ayu Arynafa’iza Azmi (MTK Sarawak) menang ke atas Ranti Niza (Lundu Sarawak) kategori wanita amatur 42-45kg, Mohd Shah Ahmad (UNI F66 Sabah) menewaskan Mohd Afizul Azizi (MTK Sarawak) kategori amatur 54-57kg, Zulhadli Jafar (Alamgir Sabah) menewaskan Clement Johnny (Karabaw Sabah) kategori amatur 57-60kg.

Mohd Shafiq Akmal (DMG Sabah) menang ke atas Ting Chek Tee (PS Sarawak) kategori amatur 67-71kg dan Nur Zafarisha Jafari (MTK Sarawak) menang ke atas Nor Aisah Aziz (PS Sarawak) kategori wanita amatur 45-48kg.

 

Advertisement