Anda di sini

Liga MPP kembali lagi dengan aksi yang lebih sengit

Advertisement

KUCHING: Kejohanan Bola Sepak Liga Jemputan MPP (Majlis Perbandaran Padawan) 2015 kembali lagi memeriahkan jadual perlawanan bola sepak tempatan dengan menjanjikan saingan lebih sengit.

Penasihat kejohanan, Edward Stephen Kurik berkata liga kali ini diadakan lebih awal selewat-lewatnya pertengahan Mei depan dan dianjurkan bersama Kelab Bola Sepak Padawan.

“Liga Jemputan MPP 2015 akan bermula selewat-lewatnya pertengahan Mei dan akan cuti rehat sekiranya masih berlangsung sehingga Gawai.

“Kita menjangkakan jumlah pasukan menyertai liga kali ini mencecah 40 pasukan.

Ini berdasarkan sambutan sangat baik tahun lalu sehingga penganjur terpaksa membuat tapisan,” katanya.

Edward berkata, format kejohanan dikekalkan secara liga dan jawatankuasa teknikal mengadakan mesyuarat bagi membincangkan pelbagai aspek dalam waktu terdekat.

Pengumuman awal bagi membolehkan pasukan berminat melakukan persiapan terbaik menghadapi kejohanan yang mungkin menampilkan pasukan baharu.

Penganjur juga akan menyingkirkan pasukan sebelum ini yang dikenal pasti gagal menyerlah dan tidak menunjukkan disiplin tinggi sebagai memberi laluan kepada pasukan lain.

Seperti kejohanan sebelum ini, Liga MPP menawarkan hadiah wang tunai agak lumayan kepada pemenang selain piala pusingan dimenangi pasukan juara dua kali.

Bagaimanapun, jumlah hadiah wang tunai dan gelaran lain akan dimuktamadkan pada mesyuarat teknikal nanti.

“Penyertaan dibuka sebaik sahaja semuanya telah dimuktamadkan dan pengumuman akan dibuat kelak,” katanya.

 

Advertisement