Anda di sini

Pilihan kelima beregu lelaki lakar sejarah

Advertisement

KUCHING: Pilihan kelima acara beregu lelaki, Lim Alberto dan Ly Nam Hoang melakar sejarah tersendiri setelah menjuarai kejohanan tenis Piala Ketua Menteri Sarawak ke-25 (I) Sirkit Remaja ITF (Gred 1) di sini semalam.

Lim kelahiran Filipina manakala Ly dari Vietnam menumpaskan pasangan dari China, Wu Hao dan Wu Yibing yang juga pilihan keenam dengan 7-6(4), 6-2 dalam aksi final mengambil masa selama satu jam 25 minit.

Acara beregu wanita menyaksikan penguasaan Australia dengan kedua-dua beregunya berentap bagi memburu tempat satu dan dua.

Pilihan pertama, Bains Naikhta dan Tjandramulia Olivia menepati ramalan dengan berjaya menyingkirkan rakan sepasukan, Hule Petra/Inglis Maddison untuk muncul juara.

Bagaimanapun, Bains dan Tjandramulia terpaksa berentap selama satu jam 20 minit sebelum mengesahkan kejuaraan dengan kemenangan 6-2, 6-2.

Sementara itu, ganjaran berganda buat Ly selepas beliau turut melayakkan diri ke final acara perseorangan lelaki yang akan berlangsung hari ini.

Ini kerana, selepas kejayaannya mengatasi pemain Korea Selatan, Kwon Soon Woo yang juga pilihan keenam dengan 6-1, 6-2.

Bagaimanapun, Ly bakal berdepan laluan getir pada aksi final menentang seorang lagi pemain Korea Selatan yang juga pilihan kedua, Oh Chan-Yeong.

Oh sebelumnya menyingkirkan rakan beregu Ly, Lim dengan 6-2, 6-2 untuk menempah slot ke final.

Pemain Republik Chech, Kankova Lucie terus melakar kejutan apabila berjaya mara ke final acara perseorangan wanita selepas mengatasi Thamchaiwat Bunyawi dari Thailand dengan 6-3, 7-6(4).

Kankova yang juga pilihan ke-16 bakal bertemu dengan pemenang acara beregu, Tjandramulia selepas pilihan kelima itu menyingkirkan rakan sepasukan Inglis 6-4, 6-2.

Presiden Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA), Datuk Patrick Liew menyampaikan hadiah kepada pemenang.

Advertisement