Anda di sini

Kabilan pertahan juara Piala Pusingan Bintulu

Advertisement

BINTULU: Penyandang juara, Kabilan Javilan muncul juara edisi kedua Kejohanan Muaythai Piala Pusingan Bintulu setelah menewaskan Abdul Ariff Mulok pada perlawanan akhir di Gelanggang Muaythai Tapak Lapangan Terbang Lama kelmarin.

Kabilan dari Kelab Muaythai SS Fighter Kuching memperguna sepenuhnya kekuatan tumbukan dan serangan lututnya mengakibatkan Abdul Ariff dari Kelab Muaythai Kenyalang (MTK) Kuching tumbang tiga kali dalam perlawanan itu setelah bertarung dalam tempoh beberapa minit pusingan pertama.

Abdul Ariff merupakan penyandang juara Piala Bintulu tahun ini cuba bertahan dan meneruskan perlawanan namun pengadil perlawanan memberi beberapa pertimbangan kemampuannya dan akhirnya menobatkan Kabilan sebagai pemenang.

“Ini merupakan pertarungan cukup baik dan hebat pernah saya hadapi, tetapi saya merasakan kesakitan pada lutut bahagian kiri,” kata Kabilan, 15, ditemui selepas tamat perlawanan.

Beliau bangga dengan kemenangan itu dan hadiah untuk keluarganya, jurulatih yang berada bersamanya setiap hari.

Katanya, beliau 10 bulan dalam bidang sukan muaythai dan latihan yang dilalui memang sukar serta perubahannya juga tidak mudah.

“Saya cuba memberikan terbaik dan menunjukkan kepada jurulatih mengenai keupayaan bahawa saya boleh melakukan sekali lagi dalam perlawanan ini,” katanya sambil menambah kejuaraan itu merupakan kedua dimenanginya di sini dengan keseluruhan lima kemenangan dalam lima siri perlawanan.

Kabilan berkata, kejohanan dimenanginya ialah muaythai di Sematan (Lundu), Bintulu, Kuching (Sarawak), Sabah dan sekali lagi kejohanan di Bintulu untuk edisi kedua tahun ini.

Sambil enggan mengulas mengenai persediaannya mengharungi perlawanan akhir merebut Piala Pusingan Bintulu kali ini, Kabilan melihat perkembangan petinju-petinju muda di Sarawak cukup bagus dan menyifatkan petinju Sarawak mempunyai kualiti masing-masing.

“Jika melihat kepada kekuatan saya, saya bukan terkuat tetapi ada yang lebih kuat daripada saya,” jelasnya.

Justeru itu, harapan beliau untuk tempoh mendatang adalah terus membanggakan pasukan dan membawa pasukan ke tahap lebih tinggi serta memastikan nama pasukannya lebih dihormati.

Hadiah pemenang disampaikan Presiden Persatuan Muaythai Negeri Sarawak, Jumaat Ibrahim dan Setiausaha Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Siti Aishah Othman.

Kejohanan empat hari itu anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama agensi dan jabatan-jabatan lain.

Advertisement