Anda di sini

Shafilaludin ternyata tiada tandingan

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

Petinju Kelab SS Fighter Kuching berjaya pertahan kejuaraan muaythai Piala TYT

TERHEBAT: Tun Taib menyampaikan Piala Pusingan Muaythai TYT kepada Shafilaludin sambil disaksikan oleh Toh Puan Ragad (kanan) dan yang lain.

BINTULU: Shafilaludin Nordin mempertahankan kejuaraan apabila sekali lagi muncul juara Kejohanan Muaythai Piala Pusingan TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak Edisi Kedua setelah menundukkan Hudson Kayan pada perlawanan akhir di Gelanggang Muaythai Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, malam kelmarin.

Shafilaludin dari Kelab SS Fighter Kuching bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga pusingan kelima untuk menjinakkan Hudson dari Kelab Muaythai Kenyalang (MTK) Kuching dalam pertarungan sengit sebelum dinobatkan sebagai juara kejohanan itu.

Kejuaraan itu melayakkan Shafilaludin membawa pulang hadiah kemenangan berupa piala pusingan, piala iringan, pingat dan wang tunai, manakala Hudson menerima hadiah berupa piala, pingat dan wang tunai.

Perlawanan jemputan antarabangsa pula menyaksikan petinju Sarawak, Mohd Zahid Haizan (Zahid ‘Super Kijang’) dari Kelab MTK (Sarawak) menewaskan Mustafa Mungkon dari Mungkorn Fight Team Singapore (Singapura).

Manakala, kehebatan Trevor Sallang ‘The Machete’ dari Warrior Muaythai Sarawak (Sarawak) terserlah apabila mengalahkan Santchai dari Satun Thailand.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Tun Taib dalam ucapannya berkata, beliau amat gembira melihat semakin banyak aktiviti dianjurkan dengan Bintulu sebagai tuan rumah melibatkan kegiatan menyihatkan khasnya untuk generasi muda.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Muaythai Sarawak (PMS) kerana telah membawa pertandingan muaythai ke Bintulu pada tahun ini.

“Saya harap trend yang membawa banyak aktiviti seperti sukan muaythai ini akan dapat memeriahkan Bintulu dengan menghimpunkan penduduk khasnya anak-anak muda.

“Saya ingin melihat Bintulu mengambil tempat yang sepatutnya sebagai salah satu bandar yang penting bukan sekadar dalam pembangunan ekonomi dalam negeri Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, Bintulu diyakini menjadi sebuah tempat percutian dan laluan bagi pengunjung luar singgah melawat Sarawak.

“Hari ini Bintulu menjadi tumpuan bagi orang yang bekerja dari kawasan pedalaman yang ada hubungan dengan banyak perkara pembangunan.

“Oleh sebab itu, saya ingin melihat hubungan sosial dan kemesraan penduduk Bintulu terus diperkukuhkan dan Bintulu menjadi tumpuan warganya sebagai bandar yang hidup dengan kegiatankegiatan sosial.

“Tahniah kepada sesiapa saja yang telah mengusahakan banyak aktiviti di Bintulu bermula dengan festival layang-layang dan kini banyak aktiviti-aktiviti lain. Teruskan perjuangan ini,” ujarnya.

Kejohanan empat hari anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), Pejabat Residen Bahagian Bintulu dan Persatuan Muaythai Negeri Sarawak (PMNS) dengan kerjasama agensi dan jabatanjabatan lain itu disertai oleh 50 peserta Sarawak, Sabah (34), Labuan (10) dan beberapa peserta dari Thailand, Singapura dan Indonesia.

Turut menyaksikan kejohanan itu, isteri TYT Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Menteri Muda Pelancongan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak serta ketua penasihat kejohanan Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) merangkap Menteri Muda Pembangunan Belia (Luar Bandar) dan ADUN Kemena Datuk Dr Stephen Rundi Undi dan Speaker DUN Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dan isteri.

Hadir sama Pengurus Besar BDA merangkap pengerusi jawatankuasa penganjur Datu Mohidin Ishak, Presiden PMS Jumaat Ibrahim, Residen Bahagian Bintulu Muhamad Yakup Kari dan Pemanca Rosli Kamaruddin.

Advertisement