Anda di sini

Prestasi hambar Ryan Griffiths, kesabaran Alberts kian menipis

Advertisement

KUCHING: Kesabaran pengendali Sarawak Robert Alberts terhadap penyerang import, Ryan Griffiths semakin menipis selepas pemain itu masih bergelut untuk mempamerkan prestasi yang diharapkan.

Bekas penyerang kebangsaan Australia itu menimbulkan kebimbangan Alberts kerana belum menjaringkan sebarang gol selepas mengharungi lima perlawanan Liga Super.

Setakat ini, sumbangan penyerang berusia 34 tahun itu hanya satu gol ketika Sarawak tewas 1-2 di tangan Kelantan dalam saingan Piala FA di Kuching pada bulan lalu.

“Ryan perlu meningkatkan prestasinya untuk membantu pasukan. Saya akui, beliau tidak bermain seperti pada musim lepas,” menurut Alberts semalam.

“Beliau menyedari masalah tersebut dan menjelaskan kepada saya mengenainya.”

Alberts bagaimanapun gembira dengan prestasi ditunjukkan seorang lagi penyerang, Billy Mehmet yang telah menjaringkan tiga gol dalam saingan liga setakat ini.

Namun beliau menegaskan, pemain lain termasuk Ryan perlu membantu Billy untuk menjaringkan lebih banyak gol.

“Kita memerlukan gandingan mantap dari Ryan dan Billy untuk menjana serangan yang lebih berkesan.

“Billy bermain dengan baik namun beliau memerlukan sokongan dari Ryan dan pemain lain untuk menjaringkan gol,” tambahnya.

Sementara itu, Alberts berkata beliau masih belum mempunyai sebarang perancangan untuk mengambil pemain baharu sebaik jendela perpindahan pemain dibuka pada April nanti.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan untuk menyertai pasaran sekiranya ada pemain yang berpotensi untuk dibawa masuk.

“Ya, sudah tentu kita akan mengambil pemain baharu jika ada pemain yang berpotensi untuk memperkuatkan lagi skuad.

“Namun, setakat ini kita belum mempunyai sebarang perancangan ke arah itu,” ujarnya.

Advertisement