Anda di sini

Aksi sengit buka tirai Piala TYT

Advertisement

Oleh Abang Ismail Abang Su’ud //

PMS akan terus pergiat usaha untuk melahirkan lebih ramai petinju muaythai Sarawak

BINTULU: Pertarungan sengit membabitkan beberapa petinju muaythai negeri membuka t irai Kejohanan Muaythai Piala TYT Yang di-Pertua Negeri Sarawak edisi kedua di Gelanggang Muaythai Tapak Lapangan Terbang Lama Bintulu, semalam.

Pertarungan pusingan separuh akhir dan akhir kategori profesional dilangsungkan sehingga malam tadi sebagai antara usaha giat Persatuan Muaythai Sarawak (PMS) mencari calon berpotensi serta melahir jaguh-jaguh muaythai Sarawak.

Presiden PMS Jumaat Ibrahim berkata, kejohanan itu termasuk Piala Borneo dan Piala Bintulu merupakan antara usaha pihaknya untuk mempromosikan sukan itu di negeri ini.

“Melaluinya, kami berharap dapat memilih calon-calon yang berpotensi dan lebih ramai petinju yang mampu mewakili negeri ini pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2016,” ujarnya pada sidang media bersama Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Mohidin Ishak dan Yang Dipertua Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Bumiputera Sarawak (PKBS) Nawawi Ibrahim semalam.

Jumaat berkata, pihaknya telah bekerja keras agar kerajaan mempertimbangkan permohonan mereka untuk mempertandingkan sukan muaythai pada SUKMA 2016 sebagai acara utama.

“Melalui penyertaan petinju negeri ini dalam Piala TYT, kami berharap petinju-petinju berpotensi dapat dilahirkan, namun penyertaan dalam SUKMA 2016 bergantung kepada had umur yang ditetapkan kepada 16 hingga 21 tahun sahaja,” jelasnya.

Menurut beliau, selain mempromosikan muaythai dan SUKMA, pihaknya berharap dapat mengetengahkan petinju-petinju muaythai yang menyerlah di Sarawak dan merintis kejayaan yang pernah dikecapi dalam kejohanan di peringkat antarabangsa, antaranya kejohanan muaythai di Langkawi yang meraih emas dan gangsa pada kejohanan di Phuket, Thailand.

“Penganjuran kejohanan ini juga merupakan usaha mempromosi sukan muaythai dengan lebih giat lagi memandangkan sukan itu agak baharu di negeri ini,” katanya.

Jelasnya, penganjuran julung kali Piala Borneo pula akan menjadi batu loncatan untuk mewujudkan jalinan kerjasama antara empat wilayah di Kepulauan Borneo sekali gus menyaksikan Memorandum Persefahaman (MoU) bakal dimeterai pada petang Sabtu, 21 Mac ini antara Sabah, Sarawak, Labuan dan Kalimantan Barat.

“Kami berterima kasih kepada TYT kerana memberi restu dan sokongan penuh penganjuran kejohanan Muaythai di Bintulu sebagai antara aktiviti sihat yang menekankan disiplin tinggi dan berfaedah untuk peserta,” katanya.

Sementara itu, Mohidin berkata kejohanan muaythai antara empat acara besar yang diadakan di Bintulu.

“BDA memberi sokongan penuh terhadap acara ini. Kita galak sukan ini kerana ia mampu merangsang sektor pelancongan dan ekonomi di sini,” katanya.

Advertisement