Anda di sini

Tenis: Hanya dua wakil negara melepasi pusingan pertama

Advertisement

KUCHING: Hanya dua wakil negara berjaya melepasi pusingan pertama kejohanan tenis Piala Ketua Menteri Sarawak ke-25 (I) Sirkit Remaja ITF (Gred 1) di gelanggang Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) semalam.

Pemain perseorangan lelaki, Hao Sheng Koay melangkah ke pusingan seterusnya selepas pemain dari Thailand, Nawakarn Khunjan menarik diri dalam set ketiga membolehkan beliau menang dengan 3-1, 7-5, 1-0 (retired).

Turut mara pemain perseorangan wanita, Sara Nayar yang mengejutkan pemain Australia Lisa Mays dengan 6-1, 6-7(8), 6-1.

Sementara itu, tiga pemain dari Sarawak gagal membantu Malaysia mara ke peringkat seterusnya selepas terkandas dalam pusingan pertama.

Pemain SUKMA, Rohizat Achop Borhan Janang yang membuat penampilan pertama kejohanan berprestij ini tewas 6-2, 6-2 di tangan pemain dari Singapura, Yong Jie Isaac Ong dalam acara perseorangan lelaki.

Cubaan keduanya dalam acara beregu juga tidak berjaya apabila gandingan beliau bersama seorang lagi pemain negara, Sheikh Ameer Abdullah Shikh Ahmad Alias gagal menyaingi kehebatan Yong Jie Isaac Ong (Singapura)/Anthony Jackie Tang (Hong Kong) untuk tewas 6-2, 6-3, 1-6, 3-0.

Turut menerima nasib serupa Alvin Wee Jie Teng dan perseorangan wanita, Tng Ting Linda Liong.

Kedua-dua pemain itu tunduk di tangan pemain China menyaksikan Alvin dikecewakan Chukang Wang dengan 6-1, 6-3 manakala Linda tumpas 6-1, 6-1 kepada Pinyi Zuo.

Pemain negara lain yang turut terkandas termasuk Sheikh Ameer, Christian Didier Chin, Azrul Ekhsan Azman, Sri Aakash Reddiyar (perseorangan lelaki), Uma Nayar dan Yus Syazlin Nabila Yusri (perseorangan wanita).

Sheikh Ameer tunduk 6-3, 6-3 kepada Eric Junior Olivarez dari Filipina sementara Christian dikejutkan Yo Zhou Liu dari China dengan 7-6(3), 6-3.

Pemain dari Republik Chech, Patrick Rikl jelas bukan lawan Azrul apabila mudah menjinakkan pemain itu dengan 6-0, 6-0 manakala Sri Aakash juga tewas mudah kepada pemain Australia, Kody Pearson dengan 6-1, 6-2.

Yus Syazlin yang pada awalnya berjaya memberikan saingan sengit akur dengan kehebatan Alvina Lai dari Hong Kong dengan 6-2, 6-2 manakala Uma Nayar tunduk kepada Gabriella Da Silva Fick dari Australia dengan 6-1, 6-1.

Semua perlawanan bersambung hari ini.

 

Advertisement