Anda di sini

Pasukan polis ke Kunak untuk kesan suspek pencerobohan, berpatah balik

Advertisement

KOTA KINABALU: Sepasukan anggota dari Cawangan Khas (SB) Bukit Aman yang dalam perjalanan ke Kunak dari Semporna untuk mengesan suspek pencerobohan Lahad Datu yang lolos daripada pasukan keselamatan Semporna, berpatah balik setelah mendapat maklumat suspek berada di Semporna.

Pegawai SB Insp. Holib Wan Ahmad memberitahu Mahkamah Tinggi di sini semalam, pada 13 Mac 2013, beliau dan pasukannya bergerak ke Kunak setelah dimaklumkan pegawai penyelaras operasi ASP Wan Kamal Rizal Wan Daud bahawa suspek akan menuju ke Sandakan pada jam 5.30 pagi melalui Jalan Lihak-Lihak di Semporna.

“Setelah menerima maklumat tersebut daripada ASP Wan Kamal Rizal, saya dan pasukan pergi ke Jalan Lihak-Lihak untuk membuat pemantauan,” katanya, dan menambah, mereka tiba di jalan itu kira-kira jam 6 pagi.

Ketika memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang dikaitkan dengan pencerobohan itu, Holib, saksi ke-85 pendakwaan, berkata kira-kira jam 11 pagi hari berkenaan, semasa menjalankan tugas pemantauan di Jalan Lihak-Lihak, beliau dan pasukannya dimaklumkan oleh ketua pasukan, ASP Budy Jurman Osman bahawa beliau melihat menerusi teropongnya dua buah kereta putih — masing-masing Perodua MyVi dan Perodua Viva.

Beliau berkata dalam jarak 100-150 meter, beliau turut melihat melalui teropongnya, kedua-dua kenderaan itu bergerak secara perlahan dan tidak stabil,berkemungkinan membawa lebih muatan.

Dari jarak itu, katanya, beliau nampak Viva memotong MyVi dan sebaik sahaja Viva berada di hadapan MyVi, beliau melihat dua telefon bimbit dilempar keluar dari Viva ke arah kiri jalan raya.

Holib memberitahu mahkamah atas arahan Budy Jurman, kenderaan Isuzu Dmax yang dinaikinya dan Toyota Hilux membawa Budy Jurman mengapit MyVi serta Viva, mengakibatkan kedua-dua kenderaan itu berhenti.

“Selepas itu, saya dan pasukan menyerbu keluar dari kenderaan kami dan mengepung kereta MyVi dan Viva supaya pemandu dan penumpang tidak dapat melarikan diri,” katanya. — Bernama

Advertisement