Anda di sini

GST: Kementerian Kesihatan bincang Kementerian Kewangan dan Kastam

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan dan Kastam Diraja Malaysia untuk menyelesaikan isu berkaitan pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus bagi bayaran profesional untuk perundingan yang dikenakan doktor di hospital swasta.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata beliau akan bertemu kedua-dua pihak dalam beberapa minggu lagi untuk berbincang dan memperjelaskan cara sistem perubatan swasta di negara ini berfungsi.

“Sebenarnya terdapat tanggapan bahawa jabatan kastam tidak jelas tentang pelaksanaan GST dalam struktur sektor perubatan dan saya akan memperjelaskan kepada mereka.

“Saya harap selepas saya bertemu jabatan kastam dan Kementerian Kewangan, jabatan kastam akan mengeluarkan garis panduan yang lebih jelas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Penjagaan Kesihatan 2015 di sini semalam.

Dr Subramaniam berkata demikian ketika diminta mengulas tentang cada-ngan fraterniti perubatan untuk memulakan tindakan guaman terhadap kerajaan yang berhasrat mengenakan GST dalam bayaran doktor bagi perundingan dan prosedur di hospital swasta.

Media hari ini melaporkan fraterniti perubatan bercadang memulakan tindakan guaman terhadap kerajaan berhubung garis panduan baharu daripada jabatan kastam berkaitan pelaksanaan GST dalam bayaran profesional yang dikenakan doktor di hospital swasta bermula 1 April.

Dr Subramaniam berkata jika semua pihak memulakan tindakan undang-undang terhadap kerajaan disebabkan undang-undang baharu, kerajaan tidak dapat menguatkuasakan sebarang undang-undang baharu pada masa depan.

Sementara itu, mengulas tentang cadangan kerajaan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi, Dr Subramaniam berkata kerajaan belum membuat keputusan tentang perkara itu.

Beliau menegaskan kerajaan tidak akan membuat keputusan yang akan membebankan orang ramai.

Pada 20 Feb, Malaysian Doctor’s Club dianggotai lebih 8,000 doktor daripada klinik swasta dan pertubuhan bukan kerajaan dalam bidang perubatan, membantah cadangan untuk mengasingkan fungsi klinik dan farmasi.

Forum Penjagaan Kesihatan 2015 dengan tema ‘Penjagaan Kesihatan Malaysia: Trend, Peluang dan Cabaran’ anjuran Institut Strategi dan Kepemimpinan Asia itu membincangkan pelbagai topik berkaitan industri penjagaan kesihatan. — Bernama

Advertisement