Anda di sini

Bayaran syarikat konsesi dipotong jika gagal sedia perkhidmatan baik

Advertisement

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan akan memotong  pembayaran kepada syarikat konsesi perkhidmatan sokongan hospital (PSH) jika ia gagal menyediakan perkhidmatan seperti yang dijanjikan, kata Menteri berkenaan Datuk Seri Dr S.Subramaniam.

Beliau berkata syarikat-syarikat itu juga akan dikenakan penalti lebih tinggi iaitu kira-kira lima peratus memandangkan kerajaan telah melaburkan perbelanjaan yang besar dalam menawarkan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat.

“Pemotongan kos akan dikenakan hanya bagi insiden kritikal seperti kejadian bekalan api terputus di dalam dewan bedah. Dengan itu, pihak kami akan mengenakan pengurangan kos dan penalti jika terdapat pengurangan dalam perkhidmatan.

“Sebelum ini, tiada penalti dikenakan kepada syarikat konsesi tetapi sekarang, kementerian mengenakan mekanisme pemantauan yang lebih rapi untuk memastikan kualiti perkhidmatan diteruskan tanpa sebarang gangguan,” katanya.

Dr Subramaniam berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian perjanjian kerajaan dengan lima syarikat konsesi yang membabitkan 148 buah hospital bagi tempoh 10 tahun bermula 1 April ini di sini, semalam.

Perjanjian itu melibatkan jumlah keseluruhan RM1.3 bilion bagi lima syarikat bagi tempoh satu tahun.

“Bagi hospital-hospital baharu pula, PSH akan dibuat secara tender terbuka seperti Pusat Kanser Negara,” katanya.

Mengulas mengenai perjanjian itu, Dr Subramaniam berkata kerajaan bersetuju untuk mengekalkan tiga syarikat asal mengikut zon di Semenanjung iaitu Faber Medi-Serve Sdn Bhd di Zon Utara, Radicare (M) Sdn Bhd (Zon Tengah dan Timur) dan  Medivest Sdn Bhd (Zon Selatan).

Selain itu, One Medicare Sdn Bhd bagi Sarawak dan Sedafiat Sdn Bhd di Sabah.

“Skop perkhidmatan di bawah perjanjian baharu PSH, yang bermula pada 1996, telah diperluas dan ditambah baik kepada enam skop perkhidmatan termasuk kejuruteraan fasiliti hospital, biomedikal, linen dan pendobian, sisa klinikal dan pembersihan.

“Kementerian juga memasukkan elemen program lestari yang menitikberatkan aspek penjagaan alam sekitar iaitu pengurusan tenaga, kualiti udara dan program kitar semula,” katanya.

Justeru itu, Dr Subramaniam berharap syarikat konsesi dapat meningkatkan lagi mutu perkhidmatan yang ditawarkan.

Beliau turut meminta syarikat konsesi supaya menyumbang kepada pembangunan negara dari segi pemindahan teknologi baharu dan tenaga pakar tempatan dalam industri berkenaan. — Bernama

Advertisement