Anda di sini

Tiga syarikat didenda RM22,000 jalankan pembinaan tanpa berdaftar

Advertisement

KUALA LUMPUR: Tiga syarikat pembinaan masing-masing didenda RM22,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini semalam kerana menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman itu ke atas Syarikat CA E&C Sdn Bhd, Syarikat Segi Temasek Sdn Bhd dan Syarikat Semangat Bina Sdn Bhd, selepas wakil syarikat berkenaan mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, syarikat CA E&C, yang diwakili pengurus pembinaannya, Samingan Katibon, 55, sebagai kontraktor binaan didakwa menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa berdaftar dengan CIDB dan memegang perakuan pendaftaran sah dikeluarkan CIDB yang tamat tempoh pada 26 April 2013.

Syarikat Segi Temasek, yang diwakili pengarahnya Ngah Thee Yeh, 41, sebagai kontraktor binaan didakwa melakukan kesalahan sama dan memegang perakuan yang sah dikeluarkan CIDB dan telah tamat tempoh pada 8 Okt 2013.

Kedua-dua syarikat itu didakwa melakukan kesalahan itu di tapak projek pembinaan “Proposed Mixed Development (Parcel 2), di Jalan Johar/Jalan Damanlela/Jalan Beringin di sini pada 19 Dis 2013.

Bagi syarikat Semangat Bina, yang diwakili pengarahnya Ng He San, 36, sebagai kontraktor binaan didakwa menjalankan pembinaan tanpa memegang perakuan pendaftaran sah yang dikeluarkan CIDB.

Syarikat itu didakwa melakukan kesalahan tersebut di tapak projek “Cadangan Pembangunan satu Blok Bangunan Perdagangan 13 Tingkat di Jalan Burhanuddin Helmi, Taman Tun Dr Ismail di sini pada 9 Julai 2014. — Bernama

 

Advertisement