Anda di sini

Kontraktor terlepas tali gantung, dipenjara 25 tahun

Advertisement

PUTRAJAYA: Seorang kontraktor telekomunikasi terlepas daripada tali gantung selepas Mahkamah Persekutuan di sini meminda pertuduhan daripada membunuh kepada menyebabkan kematian tanpa niat ke atas seorang operator kedai kopi dan kafe siber serta pekerjanya menggunakan bahan letupan.

Panel lima hakim diketuai Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin dengan sebulat suara membenarkan rayuan Mohd Khayry Ismail untuk mengetepikan sabitan kerana membunuh dan hukuman mati.

Hakim Zulkefli, yang berkata kesalahan dilakukan Mohd Khayry adalah serius, menjatuhi hukuman penjara 25 tahun bagi setiap pertuduhan tetapi memerintahkan supaya Mohd Khayry menjalani hukuman penjara serentak mulai tarikh dia ditangkap pada 24 Sept, 2010.

Beliau memutuskan bahawa hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah apabila gagal mempertimbangkan perbezaan antara Seksyen 299 Kanun Keseksaan (berkaitan menyebabkan kematian tanpa niat) dan Seksyen 300 kanun sama (berkaitan pembunuhan).

Panel mahkamah juga disidangi Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan — Tan Sri Mohamed Apandi Ali, Datuk Seri Abu Samah Nordin dan Datuk Ramly Ali.

Mohd Khayry, 50, menghadapi dua pertuduhan menyebabkan kematian Ng Siew Hong, 54, dan Goh Yong Seng, 38, yang juga pemilik bersama kafe itu di hadapan pangsapuri Ng di Desa Tun Razak, Cheras di sini antara 8 pagi dan 8.30 pagi pada 29 Ogos, 2010.

Menurut fakta kes, Mohd Khayry telah menyiapkan satu kotak mengandungi bahan letupan daripada mercun dan minyak tanah dengan dua limau bali diletakkan di atasnya. Kotak itu diletakkan di depan kediaman Ng.

Ng dan Goh kemudian memeriksa kotak itu yang meletup apabila mereka memindahkan buah limau bali. Ng mengalami kecederaan dengan 90 peratus badannya melecur dan meninggal dunia pada hari yang sama manakala Goh meninggal dunia akibat kecederaan dua hari kemudian.

Keterangan menunjukkan bahawa Mohd Khayry berhutang antara RM20,000 hingga RM30,000 dengan Ng akibat tabiat berjudi di kafe Internet yang terletak di tingkat bawah apartmen itu.

Dalam pembelaannya, Mohd Khayry menafikan melakukan pembunuhan itu tetapi mengaku menghantar kotak tersebut yang didakwanya mengandungi jeruk dan buah-buahan.

Pada 22 Jan, 2013, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam menjatuhi hukuman mati terhadap Mohd Khayry selepas mendapatinya bersalah atas pertuduhan membunuh.

Dia kemudian memfailkan rayuan ke Mahkamah Rayuan tetapi ditolak pada 20 Jan tahun lepas.

Mohd Khayry diwakili peguam Hisyam Teh Poh Teik manakala pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Tengku Amir Zaki Abdul Rahman. — Bernama

 

Advertisement