Anda di sini

Judi haram bola sepak liga utama dunia tumpas

Advertisement

HASIL MAKLUMAT: Mohd Nashir (tengah) menunjukkan laman sesawang yang digunakan untuk tujuan perjudian haram liga bola sepak utama dunia, pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah di Alor Setar, semalam. — Gambar Bernama

ALOR SETAR: Polis Kedah menumpaskan sindiket perjudian haram bola sepak liga-liga utama luar negara, selepas menahan seorang lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Mahsuri, Kulim Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah ACP Mohd Nashir Ya berkata seorang lelaki berusia 40 tahun ditahan dalam serbuan pada jam 10.30 malam ketika melayari Internet menggunakan komputer riba bagi mengendalikan perjudian dalam talian itu.

Beliau berkata dalam serbuan itu pihaknya turut merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit, telefon tablet, peranti internet jalur lebar dan wang tunai hasil pertaruhan berjumlah RM14,145.

Katanya hasil siasatan mendapati sindiket itu mempertaruhkan perlawanan liga-liga bola sepak utama dunia yang sedang berlangsung seperti Liga Perdana Inggeris, Liga Sepanyol, Liga Jerman dan Liga Itali.

“Pelanggan perlu menghubungi menerusi panggilan telefon atau menerusi dalam talian bagi mendapatkan kata laluan untuk menyertai perjudian ini dan mereka boleh membayar secara dalam talian atau tunai kepada suspek,” katanya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah semalam.

Nashir berkata hasil siasatan menunjukkan suspek yang mengendalikan aktiviti perjudian haram itu sepenuh masa di rumah mampu mengumpul wang pertaruhan sehingga RM1.2 juta dalam tempoh satu hari.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 atau penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan. — Bernama

 

Advertisement