Anda di sini

Guna walkie-talkie ikuti perkembangan pertempuran

KOTA KINABALU: Sepasukan anggota polis marin mengikuti perkembangan pertempuran antara pasukan keselamatan dan penceroboh Sulu yang sedang berlaku di Kampung Tanduo, Lahad Datu pada 1 Mac 2013 menerusi walkie-talkie, Mahkamah Tinggi di sini diberitahu semalam.

Ketua pasukan Pemangku ASP Abdul Aziz Husin berkata, kira-kira empat jam selepas beliau dan pasukannya memulakan tugas rondaan dengan menaiki bot ronda PA16 di perairan berhampiran FELDA Sahabat 16, kira-kira jam 6 pagi hari berkenaan, beliau mendapat tahu pertempuran tercetus di kampung itu menerusi walkie-talkie.

Pada masa itu, katanya, beliau dan pasukannya berada kira-kira dua batu nautika dari pantai Kampung Tanduo.

Ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Dusuki Mokhtar sama ada beliau mengambil sebarang tindakan sebaik sahaja mengetahui tentang pertempuran itu, saksi itu menjawab: “Tidak. Kami hanya meneruskan operasi rondaan dan kawalan di perairan dan mengetahui perkembangan pertempuran melalui walkie-talkie.”

Abdul Aziz memberi keterangan pada perbicaraan 30 individu yang mempunyai kaitan dengan pencerobohan di Kampung Tanduo dua tahun lepas.

Pegawai polis itu turut memberitahu mahkamah operasi yang ditugaskan kepada beliau bersama lapan lagi anggota polis marin menaiki bot ronda PA16 berakhir pada 10 Mac 2013.

Abdul Aziz berkata pada hari berikutnya, beliau diarahkan supaya menjalankan satu lagi tugas rondaan dan operasi pemantauan bersama lima anggota polis marin dengan menaiki bot ronda PSC5.

Menjawab soalan Mohd Dusuki, saksi itu berkata, beliau mendapat maklumat kira-kira jam 8.35 pagi pada hari kedua tugasan keduanya itu daripada Bilik Gerakan Polis Marin bahawa anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) menahan seorang lelaki kira-kira 2.5 batu nautika dari pantai Kampung Tanduo.

Kata Abdul Aziz, beliau dan pasukannya diarah mengambil lelaki itu yang ditahan di atas kapal TLDM.

“Kami bertolak ke lokasi kapal TLDM lebih kurang jam 8.40 pagi dan sampai di lokasi lebih kurang 9.20 pagi.

“Saya bersama dua anggota naik ke atas kapal TLDM dan berjumpa dengan pegawai laksana kapal tersebut,” katanya.

Abdul Aziz berkata, pegawai laksana itu menyerahkan lelaki yang ditahan itu, sebuah beg galas hitam yang basah mengandungi pakaian, sampan usang dengan sebatang pendayung dan sekeping ‘boarding form.’

“Seingat saya, ‘boarding form’ itu terdapat nama pegawai laksana, lokasi tangkapan, tarikh dan nama orang ditangkap,” katanya.

Abdul Aziz mengenal pasti lelaki yang ditahan itu sebagai Ismail Yasin, seorang daripada tertuduh dalam kes itu.

Saksi itu memberitahu mahkamah beliau membawa Ismail bersama beg galas yang dirampas, ‘boarding form’ dan sampan usang berserta pendayungnya kembali ke FELDA Sahabat 16.

Abdul Aziz berkata tertuduh bersama beg galas yang dirampas serta ‘boarding form’ itu kemudian dibawa ke balai polis Cenderawasih dan beliau kemudian membuat laporan polis berkaitan penahanan itu, manakala sampan usang dan pendayungnya ditinggalkan di Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am di FELDA Sahabat 16.

Dua puluh tujuh warga Filipina dan tiga penduduk tempatan dibicarakan atas pelbagai tuduhan termasuk menganggotai kumpulan pengganas atau melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong, merekrut anggota untuk kumpulan pengganas atau secara sukarela melindungi individu yang mereka tahu adalah anggota kumpulan pengganas.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 12 Feb dan 10 April 2013.

Perbicaraan di hadapan Hakim Stephen Chung di Jabatan Penjara Sabah bersambung hari ini.

— Bernama