Anda di sini

Geng samun tembaga babit warga asing tumpas

Advertisement

SEPANG: Kumpulan ‘Faizal Copper’ yang menyamun kabel tembaga di tapak pembinaan tumpas dengan tertangkapnya 14 lelaki bulan lalu.

Barangan bernilai kira-kira RM500,000 turut dirampas dari mereka yang aktif di Selangor, Perak dan Pulau Pinang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Supt Zaldino Zahudin berkata tiga daripada mereka merupakan warga tempatan, enam warga India dan lima warga Indonesia.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur antara 21 dengan 50 tahun ditahan secara berasingan di Klang, Selangor dan Kuala Lumpur pada 22 dan 23 Feb lalu.

“Seorang daripada mereka telah dituduh di Mahkamah Sepang, lima diberi jaminan polis dan lapan lagi masih dalam tahanan di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam,” katanya.

Zaldino berkata mereka ditahan hasil laporan seorang pengadu mengenai kes samun di tapak projek Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dengkil pada 22 Feb.

“Dalam kejadian itu, seorang pengawal keselamatan yang menjaga tapak projek dilapor telah diikat dan dipukul 10 lelaki yang turut menyamun RM500 wang mangsa dan telefon bimbit serta alat walkie-talkie milik syarikat berkenaan.

“Pemeriksaan di kawasan tapak projek turut mendapati empat gulung kabel voltan tinggi hilang,” katanya.

Beliau berkata pihak polis kemudiannya menahan kesemua suspek di tiga lokasi berasingan.

Kabel yang dicuri itu dilapor dijual di sebuah premis barang lusuh di Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Pihak polis sedang mengesan perancang kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Mohd Faizal Itam, 27, atau Kecik bersama Mohd Nor Adol, 28, atau Bro Din. — Bernama

Advertisement