Anda di sini

Empat sekeluarga antara 10 diberkas kerana merompak

Advertisement

KANGAR: Empat sekeluarga adalah antara 10 orang yang diberkas polis selepas mereka memecah masuk dan merompak sebuah kedai menjual telefon bimbit dan komputer di sini.

Timbalan Ketua Polis Perlis ACP Md Zukir Md Isa berkata anggota keluarga itu membabitkan seorang bapa, seorang anak lelaki dan perempuan serta menantu lelaki.

“Anak dan menantu mempunyai rekod jenayah lampau serta positif dadah methamphetemine,” kata Md Zukir pada sidang media di sini, semalam.

Katanya mereka yang ditangkap berumur lingkungan 16 hingga 46 tahun diberkas di beberapa tempat selepas seorang peniaga membuat aduan polis bahawa kedainya di Taman Seri Tambun, Jalan Padang Behor di sini dipecah masuk pada 10 Feb lepas.

Dalam aduan, peniaga itu memberitahu polis, dia mendapati pintu bahagian belakang telah dikopak apabila membuka kedai kira-kira jam 9.15 pagi 11 Feb.

Menurut Md Zukir peniaga itu memeriksa kedainya dan mendapati 21 unit telefon bimbit, tablet dan 16 buah komputer riba bernilai kira-kira RM16,000 telah hilang.

Katanya Pasukan Petugas Khas Jenayah Polis Perlis yang menyiasat kes itu berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita berasal dari Kodiang, Kedah, pada 25 Feb lepas.

“Tangkapan ini membawa kepada penangkapan tujuh lagi lelaki serta barang-barang kes termasuk sebuah kereta Perodua Viva di Kodiang dan Alor Setar.

Mereka ditahan reman sehingga 16 Mac ini bagi membantu siasatan,” kata Md Zukir. — Bernama

 

Advertisement