Anda di sini

Penjawat awam terima cuti belajar dicabar dapat CGPA 4.00

Advertisement

PUTRAJAYA: Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal mencabar penjawat awam yang terpilih di bawah program Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) dan Cuti Belajar Bergaji Penuh Tanpa Biasiswa (CBBPTB) untuk mendapatkan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.00.

Menurutnya, mereka adalah insan terpilih dalam kalangan pegawai pengurusan dan profesional yang diberi peluang melanjutkan pelajaran dan harus belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan gred terbaik.

“Sebagai balasan mereka mestilah menunjukkan komitmen tinggi untuk memberi balik apa yang telah mereka terima dan menggunakan kelulusan itu untuk meningkatkan perkhidmatan mereka kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Karnival JPA4U anjuran Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang julung kali diadakan sempena taklimat kepada penerima HLP dan CBBPTB, di sini, semalam.

Pada tahun ini, 500 penjawat awam menerima HLP dan 32 orang pula dipilih untuk menerima CBBPTB.

Kedua-dua program itu disediakan kepada pegawai pengurusan dan profesional dalam perkhidmatan awam untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dan Doktor Falsafah (PhD) dengan kemudahan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa atau tanpa biasiswa. — Bernama

Advertisement