Anda di sini

Memartabatkan sukan Futsal

Advertisement

Oleh Mahathir Haroun //

Kerjasama dapat membantu mempopular sukan futsal ke tahap yang lebih tinggi

KUCHING: Dalam usaha menggembangkan sukan futsal di negeri ini, Sports Planet menjalinkan kerjasama dengan Vikings Futsal Sarawak dan Wilayah Borneo merupakan salah sebuah ahli gabungan Persatuan Futsal Australia (AFA).

Majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak berlangsung di Sports Planet Demak Kuching malam kelmarin.

Sports Planet Demak Kuching diwakili Pengerusinya, Afiq Fiqri manakala Vikings Futsal Sarawak dan Wilayah Borneo menerusi Ketua Pegawai Eksekutifnya, Awang Zaifulizan Abdul Rahman.

Hadir sama CEO Sports Planet Demak Kuching, Saiful Bahri.

Saiful berharap kerjasama seperti itu dapat membantu menggembangkan dan mempopularkan sukan futsal di negeri ini ke tahap lebih tinggi pada masa akan datang.

“Kerjasama ini merangkumi penyusunan aktiviti dan pertandingan futsal di peringkat umur dan kategori, kursus-kursus kejurulatihan futsal AFA, pengadilan futsal VIFA serta penganjuran Liga Futsal Kuching (KFL) yang merupakan liga futsal pertama dianjurkan di bandar raya ini,” katanya.

Sports Planet juga mahu berkongsi kepakaran dengan Viking Futsal dalam melahirkan jurulatih berkualiti berdasarkan silibus Gol Brasil/ AFA dan pengadil yang berkelulusan Persatuan Futsal Antarabangsa Viking.

“Ini seterusnya akan membantu memperbanyak program seperti pertandingan dan kursus kejurulatihan futsal seluruh negeri ini,” ujarnya.

Sebagai permulaan, pasukan kebangsaan AFA bawah 12 dan 18 tahun akan dibawa ke Sarawak untuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pemain tempatan terpilih nanti.

“Perlawanan persahabatan ini merupakan peluang keemasan buat pemain-pemain tempatan menimba ilmu daripada pemain antarabangsa untuk memantapkan kemahiran mereka,” katanya.

Mengulas mengenai KFL yang sedang rancak berlangsung, Saiful berkata, ia merupakan ladasan terbaik bagi pasukan futsal amatur sekitar bandar raya ini mempamerkan bakat dalam kejohanan kompetitif selain memberi peluang kepada jurulatih berkelulusan AFA/ Viking Futsal mempraktikkan ilmu.

Musim pertama KFL 2015 menyaksikan enam pasukan mengambil bahagian termasuk Persela FC, Cooserv, Bandar Selatan FC, Lanoon FC, Neo Nexus FC dan De’rieza KTT.

Manakala musim kedua nanti dijangka menyaksikan pertambahan dua lagi pasukan iaitu Borneo Island dan Petra Giant.

Advertisement