Anda di sini

ITF bangga SLTA berjaya anjur kejohanan junior antarabangsa

Advertisement

KUCHING: Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) melahirkan rasa bangga terhadap Persatuan Lawn Tenis Sarawak (SLTA) kerana berjaya menganjurkan tiga kejohanan junior antarabangsa dalam tempoh dua minggu.

“Bagi pihak ITF, saya berterima kasih kepada jawatankuasa penganjur – SLTA. Di sini terdapat fasiliti menarik dan kakitangan yang baik,” kata Pegawai Pembangunan ITF Oceana/ Pasifik, Darran Wrington pada Majlis Makan Malam bersama pasukan terlibat Pra-Kelayakan Piala Davis Junior Asia Ocenia dan Pra- Kelayakan Piala Federation Junior Asia Ocenia.

Sebanyak 14 pasukan merangkumi pemain berusia 16 tahun ke bawah menyertai Pra-Kelayakan Piala Davis Junior Asia Ocenia dan lapan pasukan terlibat Pra-Kelayakan Piala Federation Junior Asia Ocenia berlangsung di sini.

Minggu lalu, SLTA menganjurkan Pra-Kelayakan Tenis Junior Dunia Asia Ocenia melibatkan pemain 14 tahun ke bawah melibatkan 18 pasukan dari 13 negara dalam kategori lelaki dan wanita.

Wrington dihantar ke negeri ini untuk melihat penganjuran kejohanan dan menyampaikan beberapa anugerah kepada SLTA serta jawatankuasa penganjur sebagai tanda penghargaan.

Pertama kali berada di Kuching, Wrington berkata, beliau seronok dan berharap pemain-pemain juga dapat merasai pengalaman seperti itu.

Sementara itu, Presiden SLTA Datuk Patrick Liew berkata persatuannya terlibat dengan menganjurkan kejohanan tenis junior antarabangsa sejak 15 tahun lalu.

Beliau gembira kerana SLTA melakarkan rekod terbaik dalam menganjurkan pelbagai kejohanan dan memperkenal Kuching dalam peta tenis dunia.

“Ramai menyertai kejohanan datang balik sebagai pelancong. Ini juga merupakan pencapaian terbaik,” katanya.

Advertisement