Anda di sini

Hilang fokus punca kalah

Advertisement

REBUT BOLA: Ramesh Lai Ban Huat cuba menghalang penyerang JDT Mohd Safee Sali. — Gambar Bernama

Sarawak gagal bermain kemas selepas JDT jaringkan gol pertama: Alberts

Oleh Mahathir Haroun //

KUCHING: Hilang fokus selepas JDT menjaringkan gol pertama menyebabkan pemain Sarawak gagal bermain dengan kemas seterusnya tewas tipis kepada pasukan bintang tersebut malam kelmarin.

Ketua Jurulatih Sarawak Robert Alberts berkata, pada awal saingan anak buahnya bermain dengan baik namun tersentak dengan jaringan pertama pihak lawan dan melakukan beberapa kesilapan.

Malah menurutnya, pada awal saingan Sarawak sepatutnya mampu menjaringkan banyak gol termasuk peluang keemasan yang dimiliki Joseph Kalang Tie pada minit-minit awal separuh masa pertama.

“Kita mampu melakukan beberapa serangan menarik dan menyaingi pihak lawan yang dibarisi pemain terbaik Liga Malaysia.

“Pemain hilang fokus dan melakukan beberapa kesilapan menyebabkan pihak lawan berjaya menjaringkan gol dalam tempoh dua minit,” katanya ketika dihubungi semalam.

Alberts turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan beberapa keputusan pengadil.

“Kita memang menerima hakikat kekalahan namun jika mutu pengadilan teruk, ia adalah tidak baik untuk bola sepak.

“Beberapa keputusan pengadil ternyata mengganggu momentum permainan antara kedua-dua pasukan,” ujarnya.

Pada perlawanan yang menyaksikan Sarawak tewas 2-1 kepada JDT, Billy Mehmet berjaya melepasi perangkap ofsaid untuk menjaringkan gol pertama selepas menerima hantaran cantik Ivan Fatic pada minit ke-27.

Pada minit ke-34, Joseph Kalang Tie terpaksa dikeluarkan selepas mengalami kecederaan dan digantikan oleh J. Partiban.

Lima minit sebelum rehat, Mohd Safiq Rahim memberi keceriaan kepada JDT selepas menjaringkan gol penyamaan menerusi sepakan percuma.

Selang seminit kemudian, Safiq meletakkan JDT di depan dengan jaringan cantik dari luar kotak penalti.

Perlawanan itu juga menyaksikan Fatic dilayangkan kad merah pada akhir saingan selepas menerima kad kuning kedua.

 

Advertisement