Anda di sini

Belia India perlu sertai lebih banyak aktiviti sukan: Dr Jerip

Advertisement

KUCHING: Belia India di Sarawak perlu menyertai lebih banyak aktiviti sukan agar dapat bersama-sama menyumbang kepada pembangunan sukan negara.

Demikian saranan Menteri Muda Kesihatan Awam Datuk Dr Jerip Susil sambil menyatakan keyakinannya bahawa belia India dari negeri ini mempunyai potensi besar untuk menjadi atlet terbaik jika berani menonjolkan bakat sukan yang ada pada mereka.

“Sarawak adalah terkenal dalam melahirkan atlet terbaik seperti penerjun negara Pandelela Rinong dan bekas atlet pecut negara Watson Nyambek yang telah membanggakan negeri dan negara.

“Saya percaya pada suatu hari nanti, komuniti India dari Sarawak akan mempunyai seorang atlet terbaik sama ada dalam sukan seperti badminton, bola sepak atau hoki kerana mereka mempunyai kelebihan dari segi fizikal dan mental,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Bulan Sukan Persatuan Belia Hindu Kuching (PBHK) 2014 yang diadakan di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, semalam.

Sehubungan itu, Dr Jerip menyeru kepada komuniti India agar menganjurkan lebih banyak acara sukan seperti Bulan Sukan PBHK untuk menarik penglibatan aktif di kalangan komuniti mereka dalam sukan.

“Ini adalah antara cara yang boleh dilakukan agar anda dapat memainkan peranan dan menyumbang kepada komuniti sendiri,” katanya.

Sementara sempena majlis itu, Dr Jerip telah menjanjikan geran RM5,000 kepada PBHK untuk terus menganjurkan aktiviti sukan.

Dr Jerip turut menyempurnakan penyampaian piala kepada pemenang Bulan Sukan PBHK 2014 yang diadakan pada Disember tahun lepas.

Hadir sama Presiden PBHK Kannan Muniadi dan pengerusi penganjur majlis Ranjinta Arumugam.

Advertisement