Anda di sini

Tadahan air di empangan utama di seluruh negara masih mencukupi

Advertisement

KUALA LUMPUR: Empangan utama di seluruh negara dilaporkan masih merekodkan tadahan air yang mencukupi bagi memenuhi keperluan semasa,  meskipun cuaca panas dan kering di-alami negara ketika ini.

Di SELANGOR, lapan empangan di negeri itu dilaporkan berada pada tahap konsisten. Menurut statistik laman web Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), setakat jam 8 pagi semalam paras air di empangan Tasik Subang mencatatkan jumlah takungan tertinggi iaitu 97.61 peratus diikuti Langat (95.09 peratus).

Enam empangan lain mele-pasi paras minimum dengan empangan Semenyih menca-tatkan jumlah takungan 95 peratus, diikuti Batu (89.07 peratus), Klang Gates (87.24 peratus), Sungai Selangor (75.56 peratus), Kolam Takungan Sungai Labu (74.44 peratus) dan Sungai Tinggi (69.50 peratus).

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Idris Haron berkata Melaka pada masa ini mempunyai bekalan air yang mencukupi untuk rakyat negeri itu walaupun terdapat sedikit penurunan paras air di empangan negeri.

Beliau berkata semua empangan di Melaka masih berada di tahap selamat iaitu empangan Jus pada 55 peratus, Durian Tunggal pada 70 peratus dan Asahan pada 90 peratus.

Katanya sekiranya tiada hujan dan musim kering pada masa ini berterusan, bekalan tersebut mampu bertahan sehingga awal bulan depan.

“Kemungkinan untuk be-kalan tidak mencukupi itu ada sekiranya keadaan sekarang (tiada hujan dan musim kering) berterusan hingga awal bulan depan. Bagaimanapun kerajaan negeri tidak berdiam diri dan telah merancang pelbagai pelan bagi memastikan rakyat Melaka mempunyai bekalan air yang mencukupi,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Di KOTA BAHARU, Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan Shahimi Sharif berkata paras air di kawasan tadahan air Tasik Bukit Kwong, Rantau Panjang di Pasir Mas masih berada di paras normal iaitu melebihi 15 meter.

“Paras air tasik itu kini berada pada tahap 16.1 meter, iaitu dikategori sebagai paras biasa,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini semalam.

Shahimi berkata Tasik Bukit Kwong adalah satu-satunya tasik di Kelantan yang berfungsi menyalurkan bekalan air bagi penduduk sekitar Rantau Panjang sementara bekalan air di jajahan lain di negeri itu diperoleh dari loji air melalui sumber sungai Kelantan.

“Empangan Pergau yang kita ada di Jeli tidak membekalkan air tetapi berfungsi menjana tenaga elektrik sahaja. Jadi ia tidak mempunyai kaitan atau kesan kepada sumber bekalan air di negeri ini,” katanya sambil menambah Kelantan tidak mempunyai empangan khusus bagi tadahan air. — Bernama

Advertisement