Anda di sini

Syor persempadanan semula Sarawak belum dapat dibentang di Dewan Rakyat

Advertisement

KUALA LUMPUR: Laporan akhir persempadanan semula bahagian-bahagian pilihan raya negeri Sarawak tidak dapat dibentangkan pada persidangan Dewan Rakyat yang akan bermula Isnin depan, berikutan sesi pendengaran bantahan awam, belum selesai.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata setakat ini masih terdapat 10 lagi bantahan yang belum melalui proses pendengaran.

“Syor persempadanan semula itu menerima 64 bantahan tetapi hasil semakan SPR mendapati hanya 41 yang memenuhi syarat bantahan.

“Selepas semua sesi pendengaran bantahan awam selesai, syor itu akan dipamerkan sekali lagi, jika tiada bantahan diterima, barulah laporan akhir boleh disiapkan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau berkata laporan akhir itu akan diserahkan kepada perdana menteri dan terpulang kepada beliau untuk membentangkannya di Dewan Rakyat pada masa sesuai.

Antara kawasan Parlimen yang menerima bantahan sejak syor itu diwartakan dan dipamerkan selama sebulan mulai 5 Jan lepas ialah Ku-ching, Kapit, Sarikei, Bintulu, Miri dan Saratok.

Abdul Aziz berkata SPR mempunyai tempoh dua tahun dari tarikh syor itu diwartakan untuk menyelesaikan perkara tersebut (persempadanan semula).

“SPR yakin 11 bahagian baharu yang diwujudkan dalam persempadanan semula itu dapat digunakan pada pili-han raya Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri itu akan datang,” katanya yang kini berada di Sarawak untuk menghadiri sesi pendengaran berkenaan.

Berikutan persempadanan semula itu, DUN Sarawak yang kini mempunyai 71 kerusi akan bertambah menjadi 82.

Sebelas bahagian baharu itu ialah N.13 Batu Kitang, N.17 Stakan, N.18 Serembu, N.23 Triboh, N.26 Gedong, N.40 Kabong, N.57 Telian, N.63 Selirik, N.66 Murum, N.70 Samalaju dan N.78 Long Lama.

Kajian semula persempadanan dilakukan sekurang-kurangnya lapan tahun sekali dan kali terakhir dibuat pada 2003. — Bernama

Advertisement