Anda di sini

Perkembangan proses mediasi dua bekas MB Selangor diketahui 25 Mac

Advertisement

SHAH ALAM: Status per-kembangan proses mediasi dua kes saman fitnah berhubung isu pembelian kereta Lexus dan pembelian 46 ekor lembu korban yang difailkan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim terhadap Dr Mohamad Khir Toyo, akan diketahui pada 25 Mac ini.

Peguam S.N.Nair, yang mewakili Abdul Khalid, berkata kedua-dua pihak masih dalam proses perbincangan dan perkembangan mengenainya akan dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Kehakiman M.Gunalan pada tarikh itu.

“Ini hari pertama mediasi dan kedua-dua pihak masih dalam perbincangan. Selepas ini, peguam kedua-dua pihak akan teruskan proses mediasi dan kita akan maklumkan kepada Mahkamah Tinggi pada 25 Mac ini statusnya sama ada kita dapat capai sesuatu atau tidak.

“Jika tidak, kita akan terus-kan dengan perbicaraan pada tarikh itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Mediasi Mahkamah Shah Alam di sini, petang semalam.

Proses mediasi Abdul Khalid dan Mohamad Khir, yang kedua-duanya bekas Menteri Besar Selangor, dibuat di hadapan Ketua Pusat Mediasi Mahkamah Shah Alam Fathiyah Idris.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata tindakan saman itu dibuat bagi menjaga reputasinya sebagai menteri besar (ketika tindakan saman dibuat) dan profesional.

“Tujuan saya failkan perkara ini (saman) untuk tentukan (sama ada) perkara yang dinyatakan itu (dakwaan Mohamad Khir) adalah benar…kalau tidak, kita perlu jelaskan dan betulkan.

“Saya ingin pastikan reputasi sebagai seorang menteri besar juga seorang profesional kekal, itu sahaja. Saya tidak harapkan apa-apa selain daripada reputasi diri,” katanya tanpa mengulas lanjut mengenai butiran proses mediasi itu.

Mohamad Khir yang hadir bersama peguamnya Siti Maspuah Maulan, bagaimanapun enggan memberi komen.

Pada 18 Feb 2009, Abdul Khalid memfailkan dua saman fitnah terhadap Mohamad Khir berhubung kenyataannya mengenai Abdul Khalid dalam isu pembelian kereta Lexus dan pembelian 46 ekor lembu korban.

Dalam pernyataan tuntutannya, Abdul Khalid antara lain mendakwa Dr Mohamad Khir telah mengucapkan atau membuat dua kenyataan berunsur fitnah yang telah diterbitkan di dalam akhbar The New Straits Times bertajuk ‘Lexus is my own, says Khalid’ pada 15 Jan 2009 dan di dalam akhbar Utusan Malaysia bertajuk ‘Lepaskan Jawatan MB’ pada 23 Jan 2009.

Abdul Khalid mendakwa kedua-dua artikel itu secara langsung dan tidak langsung merujuk kepada beliau, yang bermaksud antara lain bahawa beliau adalah seorang tidak jujur, tidak beretika dan sengaja menyalahgunakan kedudukannya untuk kehidupan peribadi dan jawatan awam.

Dr Mohamad Khir juga didakwa telah secara salah menerima dan menunjukkan dokumen rasmi rahsia berkaitan dengan andaian salah laku dalam hal ‘lembu korban’ tanpa mengesahkan ketepatan fakta yang berkaitan dan seterusnya membuat tuduhan palsu.

Sehubungan itu, Abdul Khalid memohon ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk, ganti rugi teladan dan perintah injunksi bagi menghalang Dr Mohamad Khir daripada terus melafazkan, bercakap atau menulis atau menerbitkan kenyataan terbabit yang didakwa memfitnah beliau. — Bernama

Advertisement