Anda di sini

Pemohon gagal dapat BR1M boleh rayu sehingga 31 Mac

Advertisement

Rayuan perlu dibuat secara manual dan sertakan lampiran

MANUAL: Ahmad menunjukkan borang permohonan rayuan untuk pemohon BR1M yang perlu diisi dan dikemukakan secara manual, ketika sidang media di Bangunan Perbendaharaan di Putrajaya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Sebanyak 973,067 pemohon Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang ditolak permohonan boleh mengemukakan rayuan selewat-lewatnya sehingga 31 Mac ini, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata rayuan itu perlu dibuat secara manual dengan mengisi borang rayuan yang boleh dimuat turun melalui ebrim.hasil.gov.my. sebelum mengemukakannya ke 85 cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di kawasan masing-masing.

“Rayuan tidak boleh dibuat secara online kerana pemohon perlu memberi maklumat atau lampiran sokongan bagi menyokong permohonan mereka,” katanya dalam sidang media di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Beliau berkata terdapat 36 sebab mengapa permohonan individu ditolak, antaranya jumlah pendapatan isi rumah pemohon melebihi RM2,000 dan RM4,000 selepas semakan dilakukan dengan agensi berkaitan.

Katanya, nombor kad pengenalan pemohon tidak wujud di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), pemohon berstatus kahwin tetapi tiada maklumat pasangan serta maklumat pasangan dan pasangan disenarai hitam juga menjadi sebab sesuatu permohonan gagal.

Ahmad berkata setiap pemohon yang gagal dihantar surat dengan disertakan sebab permohonan ditolak bagi membolehkan mereka menyediakan alasan untuk dilampirkan bersama borang rayuan yang dikemukakan.

Katanya sebanyak 7.2 juta permohonan BR1M telah diluluskan tahun ini dan  daripada jumlah tersebut, 4.1 juta pemohon layak menerima bantuan berjumlah RM950, 410,000 bagi bantuan sebanyak RM750 dan RM350 bagi penerima dalam kalangan 2.7 juta individu bujang.

Berhubung rungutan terdapat 1.4 juta pemohon yang belum menerima bantuan itu selepas pembayaran dibuat 15 Jan lepas, Ahmad berkata wang berkenaan akan dimasukkan ke dalam akaun individu terbabit bermula Selasa depan.

Beliau berkata antara punca kelewatan itu sebahagiannya disebabkan pemohon lewat membuat kemas kini maklumat yang sepatutnya dilakukan sebelum 31 Dis lepas.

Sebab lain ialah kebanyakan daripada 1.4 juta pemohon tersebut membuat permohonan menggunakan kaedah manual yang menyukarkan proses pembayaran dibuat berbanding secara online, katanya.

Mengenai pelaksanaan pembayaran cukai pendapatan menggunakan kad kredit dan debit Visa, MasterCard dan American Express yang mendapat kritikan sesetengah pihak, Ahmad berkata ia bukan wajib tetapi sekadar memberi lebih banyak pilihan terhadap kaedah pembayaran cukai sedia ada.

Beliau berkata cadangan berkaitan kaedah pembayaran sebegitu sebenarnya telah dikemukakan LHDN sejak April 2008 dan kementerian telah meneliti dan mengkaji pelbagai sudut sebelum diberi kebenaran pelaksanannya.

“Kerajaan memahami kegusaran kemungkinan berlakunya peningkatan hutang isi rumah berikutan pelaksanaan kaedah itu tetapi matlamat utama di sebaliknya adalah bagi memberi lebih banyak pilihan selain memudahkan individu membayar cukai mengikut kesesuaian masing-masing,” katanya.

Perkhidmatan baharu tersebut yang diumumkan Isnin lepas merupakan inisiatif terkini LHDN dengan kerjasama Kumpulan Maybank bagi memastikan urusan pembayaran cukai lebih mudah dan pantas. — Bernama

Advertisement