Anda di sini

ANGKASA sedia tebus tanah milik koperasi bermasalah

Advertisement

IPOH: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) bersedia menebus kembali tanah milik koperasi yang bermasalah, kata presidennya Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Beliau berkata pihaknya dengan kerjasama Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), telah pun menubuhkan Jawatankuasa Pembangunan Hartanah Koperasi bagi mengenal pasti koperasi yang mempunyai masalah kewangan.

“Ini satu usaha kita membantu kelangsungan perniagaan koperasi bermasalah agar dapat diteruskan. Bagaimanapun, sehingga kini kita tidak mempunyai angka sebenar koperasi yang mengalami masalah dan nilai tanah terlibat.

“Pada dasarnya, permintaan itu (untuk menebus kembali tanah) telah kita persetujui,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Koperasi peringkat Perak di sini semalam.

Beliau berkata sehingga kini, bilangan koperasi di seluruh negara adalah sebanyak 12,000 buah.

Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Fattah berkata pihaknya diminta oleh 20 koperasi untuk memajukan tanah seluas 1,214 hektar di seluruh negara.

Beliau berkata pada masa ini, anak syarikat ANGKASA iaitu MyAngkasa Bina Sdn Bhd sedang menilai tanah berkenaan untuk membangunkan projek perumahan dan perladangan.

Sementara itu, Abdul Fattah berkata tiga projek perumahan sedang giat dilaksanakan menerusi MyAngkasa Bina Sdn Bhd di Alor Gajah, Melaka; Bandar Penawar (Johor) dan Taiping (Perak).

“Projek di Alor Gajah membabitkan 48 unit rumah dengan kos pembinaan sebanyak RM7 juta di tanah seluas 14.9 hektar manakala di Bandar Penawar pula, projek pembangunan sebuah bandar berteraskan Bandar Koperasi membabitkan RM500 juta sebagai kos awalan. — Bernama

“Projek terbaharu di Taiping pula membabitkan pembinaan kondominium dan hotel bernilai RM30 juta di tanah seluas 0.4 hektar milik Koperasi Guru-Guru Melayu,” katanya. — Bernama

Advertisement