Anda di sini

Ops Licin 2: 25 pegawai polis ditahan

Advertisement

Bantu siasatan kes melindungi penyeludupan dan penjualan petrol, diesel

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam menahan 10 lagi pegawai polis bagi membantu siasatan kes berkaitan melindungi aktiviti penyeludupan dan penjualan minyak petrol dan diesel secara haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Mereka berumur antara 25 hingga 58 tahun.

Dengan tangkapan terbaru itu, jumlah mereka yang ditahan menerusi Ops Licin 2 adalah seramai 25 orang.

Menurut kenyataan SPRM, tujuh daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Kedah selepas dibawa dari Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap manakala dua lagi di Balai Polis Kota Putra, Padang Terap.

“Mereka yang ditahan antara 11.30 pagi dan 2 petang tadi (semalam) terdiri daripada enam anggota polis berpangkat koperal dan masing-masing berpangkat konstabel, sarjan dan sarjan mejar.”

Beliau berkata seorang lagi dari kumpulan itu merupakan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditahan di Kem PGA Ulu Kinta, Perak.

Ops Licin 2 dijalankan sejak kelmarin bagi mengesan anggota penguat kuasa yang terbabit meminta dan menerima rasuah, dipercayai bagi melindungi aktiviti penyeludupan dan penjualan minyak petrol dan diesel secara haram di sempadan Malaysia-Thailand.

Kelmarin SPRM menahan 15 individu termasuk 13 pegawai penguat kuasa Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) dan PGA dan masing-masing seorang bekas pegawai UPP dan orang awam.

Kesemua mereka yang ditahan kelmarin telah dibebaskan semalam selepas kenyataan mereka diambil.

“Di Kedah, kesemua lapan orang termasuk bekas penguat kuasa UPP telah dibebaskan dengan jaminan. Pegawai penguat kuasa bebas dengan jaminan mulut manakala bekas penguat kuasa dengan seorang penjamin dan wang tunai RM10,000.

“Di Perak, enam anggota PGA telah dibebaskan dengan jamin mulut. Seorang awam yang ditahan semalam (kelmarin) di Perak juga telah dibebaskan dengan jamin wang tunai RM2,500 dengan seorang penjamin,” kata SPRM.

Menurut SPRM, orang awam yang ditahan disiasat di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009 manakala pegawai penguat kuasa disiasat di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar memberitahu Bernama pihaknya akan menunggu maklumat hasil siasatan terperinci daripada SPRM terhadap kesemua anggotanya.

“Kita tunggu siasatan SPRM selesai dan selepas itu, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya tanpa mengulas lanjut. — Bernama

Advertisement