Anda di sini

Layanan selaras ketetapan akta: Jabatan Penjara

Advertisement

Pelbagai tuduhan, spekulasi terus dibuat sejak Anwar menjalani hukuman walaupun diberi penjelasan

PUTRAJAYA: Jabatan Penjara semalam menjelaskan layanan serta kemudahan bagi semua banduan termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sama selaras dengan ketetapan akta, peraturan penjara dan prosedur penjara.

Timbalan Pengarah Dasar Kepenjaraan Supri Hashim berkata pelbagai tuduhan dan spekulasi terus dibuat sejak Penasihat PKR itu menjalani hukuman mulai 10 Feb lalu walaupun penjelasan telah diberi.

“Keputusan, tindakan serta langkah yang diambil oleh Jabatan Penjara adalah berasaskan ketetapan akta, peraturan dan prosedur penjara yang diguna pakai untuk menguruskan semua banduan.

“Mana-mana kakitangan yang didapati melayan banduan secara berbeza di luar daripada ketetapan akta, peraturan dan prosedur berkenaan akan diambil tindakan,” katanya dalam kenyataan di sini.

Terdapat kira-kira 50,000 banduan menjalani hukuman di seluruh penjara Malaysia.

Berhubung perjumpaan Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dengan Anwar, Supri menjelaskan Azmin ada membuat permohonan untuk berjumpa Anwar atas urusan kerajaan negeri berkaitan tugas sebagai Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Katanya Jabatan Penjara telah pun meneliti permohonan itu menggunakan peruntukan Peraturan-peraturan Penjara 2000 serta prosedur penjara dan atas urusan penting yang berkaitan, ia boleh dibenarkan.

Beliau menjelaskan lawatan sebegini yang dinamakan ‘Perjumpaan Khas’ mengikut Peraturan-peraturan Penjara 2000, juga diberi kepada ramai banduan lain bagi urusan penting antaranya berkaitan keluarga, kerja, pembahagian harta, wasiat, serta urusan mendapatkan khidmat peguam. — Bernama

Advertisement