Anda di sini

Kerajaan perlu lebih tumpu sistem asuhan sahsiah dalam pendidikan

Advertisement

PETALING JAYA: Kerajaan perlu memberi banyak tumpuan kepada sistem asuhan sahsiah dalam bidang pendidikan negara bagi melahirkan generasi yang tinggi nilai-nilai murni.

Penasihat Sosiobudaya Kerajaan Malaysia, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata pihak kementerian terbabit perlu melihat semula kandungan transformasi pendidikan yang telah dilaksanakan sekarang.

“Pendidikan negara perlu mampu melahirkan masyarakat yang bijak pemikiran dan indah dari aspek sosialnya.

“Kandungan silibus pembelajaran yang dikatakan telah sarat bukan alasan untuk sistem pendidikan tidak mampu memberi perhatian kepada asuhan sahsiah,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis makan tengah hari dan dialog bersama kira-kira 200 pelajar baharu Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini semalam.

Hadir sama, Rektor UIAM Datuk Seri Zaleha Kamaruddin dan Dekan Pusat Asasi UIAM Prof Dr Shamsul Jamili Yeob.

Rais menarik perhatian tentang modul kemanusiaan masyarakat Jepun dan Korea yang menekankan asuhan telah menjadikan rakyat negara itu mampu mematuhi peraturan serta berpegang kepada budaya mereka tanpa mudah dipengaruhi arus kemodenan.

“Rakyat dan kerajaan mesti berjuang bagi mewujudkan masyarakat yang berhemah dan berbudi pekerti agar generasi dalam masyarakat tidak hilang mutu,” katanya.

Rais yang juga Presiden UIAM berkata beliau akan memastikan universiti itu akan menjadi pemangkin kepada pendidikan yang mempunyai modul berkonsepkan asuhan sahsiah pada masa sama tidak mengenepikan kualiti dan pencapaian akademik.

“Asuhan budi yang mengindahkan sahsiah akan mengangkat tamadun sesebuah masyarakat kerana dapat memimpin manusia menggunakan ilmu pengetahuan ke arah yang baik dan menguntungkan sesebuah bangsa,” katanya. — Bernama

Advertisement